KUANTAN: Kemeriahan Ramadan dan bahang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi kian dirasakan penduduk Kampung Sungai Ular di sini, apabila mereka mengambil inisiatif menghias rumah masing-masing dengan pelbagai lampu raya berwarna-warni.
Inisiatif itu dizahirkan menerusi pertandingan lampu raya atau lampu ‘lip lap’ yang dianjurkan oleh Surau Pok Long Sohor di kampung berkenaan, sekali gus mencetuskan suasana meriah pada waktu malam sepanjang Ramadan ini.
Penduduk kampung mengambil peluang menghias halaman rumah masing-masing dengan pelbagai kreativiti menggunakan lampu Diod Pemancar Cahaya (LED), pelita buluh dan moden serta hiasan lain.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, suasana di sekitar kampung berkenaan meriah dengan sinar lampu berwarna-warni yang mula dipasang menjelang waktu berbuka puasa.
Pengerusi surau terbabit, Jamnan Wahid berkata, pertandingan julung kali diadakan itu mendapat penyertaan kira-kira 60 rumah.
“Idea ini tercetus selepas perbincangan bersama jawatankuasa surau bagi menceriakan kampung sepanjang Ramadan dan Aidilfitri. Inisiatif ini juga secara tidak langsung menghidupkan kembali tradisi masyarakat dahulu yang memasang pelita bagi menerangi rumah menjelang Hari Raya Aidilfitri, namun kini disesuaikan dengan penggunaan lampu moden yang lebih praktikal.
“Selain menceriakan suasana kampung, ia memudahkan orang ramai yang berjalan kaki ke surau untuk menunaikan solat tarawih kerana persekitaran kampung tidak lagi suram dan gelap gelita,” katanya.
Seorang penduduk, Mohd. Azrul Ariffin, 42, berkata, dia dan keluarga sudah merancang awal untuk menghias rumah dengan lampu LED dan kebetulan pihak surau menganjurkan pertandingan berkenaan.
“Jadi kami mengambil kesempatan itu untuk menghias halaman rumah dengan pelbagai jenis lampu LED malah telah berhabis lebih RM300 membeli lampu berkenaan secara dalam talian. Raya tahun ini semua adik beradik akan berkumpul di sini jadi kami buat keputusan untuk menghias suasana rumah supaya lebih meriah,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Nurul Syahirah Mat Rahim, 30, berkata, dia dan suaminya, Suhanizam Saman, 36, tidak melepas peluang untuk turut menghias rumah mereka sejak awal Ramadan. – UTUSAN










