HPUSM, YJKM 'selamatkan' 14 kanak-kanak jantung kongenital - Utusan Malaysia

HPUSM, YJKM ‘selamatkan’ 14 kanak-kanak jantung kongenital

DR. Shaiful Bahari Ismail (kanan) melihat tayangan montaj pada Majlis Pelancaran Kempen Healing 100 Hearts di HPUSM Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan hari ini. - UTUSAN/ ROSLIZA MOHAMED.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) dan Yayasan Jantung Kongenital Malaysia (YJKM) berjaya menyelamatkan 14 kanak-kanak yang menghidap penyakit jantung kongenital menerusi rawatan dan pembedahan sepanjang tempoh dua tahun lalu.

Pengarah Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr. Shaiful Bahari Ismail berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi sumbangan dana rawatan berjumlah RM42,000 yang disalurkan sejak 2024 bagi membantu pesakit daripada golongan asnaf dan keluarga berpendapatan rendah (B40).

“Alhamdulillah, bantuan tersebut memberi peluang kedua kepada kanak-kanak terlibat untuk menjalani kehidupan lebih sihat dan bermakna.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hasil kerjasama antara HPUSM dan YJKM menerusi memorandum perjanjian (MoA) yang dimeterai pada Januari 2024, seramai 14 kanak-kanak di negeri ini berjaya menjalani rawatan yang diperlukan sekali gus menyelamatkan nyawa mereka,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kempen Healing 100 Hearts di HPUSM Kubang Kerian di sini hari ini.

Dr. Shaiful Bahari memberitahu, HPUSM adalah satu-satunya hospital di Pantai Timur yang menyediakan perkhidmatan pembedahan jantung kongenital, sekali gus menjadikannya institusi penting dalam rawatan penyakit berkenaan di rantau ini.

Mengenai menerusi kempen Healing 100 Hearts 2026, beliau berkata, HPUSM bersama YJKM menyasarkan untuk mengumpul dana bagi membantu sehingga 100 pesakit jantung kongenital dalam tempoh setahun.

Katanya, kempen tersebut bertujuan mengurangkan beban kos rawatan dalam kalangan keluarga B40 selain mempercepatkan akses pesakit kepada rawatan kritikal yang boleh menyelamatkan nyawa.

“Pesakit yang dikenal pasti oleh HPUSM akan melalui proses penilaian dan kelulusan secara telus serta sistematik sebelum layak menerima bantuan.

“Dana yang diluluskan akan disalurkan terus kepada pihak hospital bagi memastikan integriti dan ketelusan pengurusan kewangan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini