Dendam lama punca lelaki maut ditetak - Utusan Malaysia

Dendam lama punca lelaki maut ditetak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Dendam lama antara dua buah keluarga dipercayai menjadi punca kejadian pembunuhan seorang lelaki di Taman Kempas Fasa 2, di sini awal pagi tadi.

Bapa saudara mangsa dikenali sebagai Nagen berkata, ini kerana mangsa pernah membuat laporan polis berkaitan pergaduhan melibatkan suspek yang menyebabkan lelaki itu ditahan polis selama beberapa hari.

“Mangsa pernah menerima WhatsApp daripada salah seorang ahli keluarga suspek mengatakan tidak puas hati dengan tindakannya mencampuri urusan keluarga mereka melalui laporan polis yang dibuatnya hingga menyebabkan suspek terpaksa meringkuk di dalam lokap.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Walaupun mangsa dan suspek berkawan baik kerana mempunyai pertalian keluarga dan tinggal satu taman, namun dendam dipercayai menjadi sebab kejadian itu,” katanya semasa ditemui di rumah mangsa di sini hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan seorang lelaki berusia lewat 20-an maut akibat ditetak berulang kali, manakala adik perempuannya cedera parah dengan tangannya hampir putus dalam kejadian, malam tadi.

Nagen berkata, kira-kira pukul 9 malam sebelum kejadian, dia bersama tiga ahli keluarga dan mangsa berbual di bahagian luar rumah sebelum dua buah motosikal dilihat mundar-mandir di hadapan rumah mereka.

“Kami berlima kemudian keluar makan malam di Taman Sejati sebelum pulang semula tiga jam kemudian. Selepas mengunci pintu pagar kami berbual semula di ruang parkir dan mangsa memaklumkan dia telah mengantuk dan mahu masuk tidur,” katanya.

Kata Nagen, tidak lama kemudian secara tiba-tiba dua lelaki memegang parang panjang melompat pagar dan menerpa ke arah mangsa yang sedang berbaring di ruang tamu lalu menetaknya.

“Seorang lelaki memakai topi keledar penutup muka penuh, manakala sorang lagi memakai topeng muka dan mereka dilihat terus menetak mangsa di beberapa bahagian badan termasuk di kepala dan kedua belah tangannya.

“Kami berempat yang masih berada di parkir kemudian mencapai beberapa batang kayu dan cuba membantu mangsa, namun salah seorang ahli keluarga kami turut ditetak dan cedera di bahagian jarinya,” katanya.

Tambahnya, semasa percubaan membantu mangsa, salah seorang mereka sempat menarik topeng muka dan terkejut kerana mengenali suspek, sebelum kedua-dua lelaki itu melarikan diri menaiki motosikal mereka yang diparkir tidak jauh dari rumah.

“Mangsa yang cedera parah masih hidup, namun meninggal dunia beberapa minit selepas itu. Dia ada empat lagi adik beradik lain dan tinggal bersama ibunya selepas kematian bapa mereka beberapa tahun lalu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini