KEPUTUSAN Mahkamah Tinggi Kuching yang menolak tuntutan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) untuk mencabar mendapatkan semula jaminan bank berjumlah RM7.95 juta Petroliam Nasional Berhad (Petronas) pada 25 Februari lalu membuka kembali persoalan lebih besar tentang kematangan federalisme Malaysia.
Isu penyelarasan bidang kuasa antara Petronas dan Petros semakin ketara sekitar Oktober tahun lalu melangkaui isu tuntutan kewangan atau perlesenan operasi petroleum. Ia menyentuh hubungan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam kerangka federalisme Malaysia.
Sarawak merupakan penyumbang besar hasil petroleum negara. Negeri ini juga mempunyai autonomi politik yang relatif stabil serta naratif sejarah pembentukan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang kuat dalam kesedaran kolektif rakyatnya.
Bagi kerajaan Persekutuan, petroleum ialah sumber fiskal utama negara dan tunjang kepada kestabilan ekonomi nasional. Persekutuan juga memikul tanggungjawab memastikan keyakinan pelabur serta kelangsungan kontrak antarabangsa tidak terjejas.
Pertembungan ini menjadikan isu petroleum muncul sebagai persoalan imbangan kuasa, identiti wilayah dan kelangsungan fiskal negara. Di sinilah muncul keperluan ‘diplomasi domestik’ iaitu pendekatan pengurusan hubungan antara kerajaan dalam negara yang memerlukan kehalusan, kebijaksanaan dan komunikasi strategik setaraf diplomasi antarabangsa.
Secara struktur, Malaysia ialah sebuah Persekutuan berperlembagaan. Kuasa diagihkan melalui Senarai Persekutuan, Senarai Negeri dan Senarai Bersama.
Namun, berbeza dengan model federalisme simetri seperti di Australia atau Amerika Syarikat (AS), Malaysia mengamalkan federalisme asimetri.
Sabah dan Sarawak mempunyai kedudukan khas hasil MA63 termasuk peruntukan tertentu berkaitan imigresen, tanah dan beberapa bidang kuasa tambahan. Keunikan ini menuntut sensitiviti yang lebih tinggi dalam pengurusan hubungan pusat–negeri.
Federalisme yang ideal sekurang-kurangnya mempunyai tiga ciri utama. Pertama, pembahagian kuasa yang jelas tanpa pertindihan kawal selia. Kedua, mekanisme rundingan tetap antara kerajaan yakni tidak terhad kepada mahkamah sebagai saluran penyelesaian.
Ketiga, perkongsian hasil yang telus supaya negeri pengeluar merasakan keadilan fiskal.
Dalam kerangka federalisme yang matang, tindakan undang-undang bukanlah instrumen utama mengurus perbezaan, sebaliknya berfungsi sebagai rujukan terakhir apabila saluran rundingan tidak lagi memadai.
Keutamaan tetap diberikan kepada dialog berstruktur yang mampu memelihara hubungan antara kerajaan serta persepsi keadilan di mata rakyat.
Namun, dalam praktik, apabila pertindihan tafsiran berlaku sama ada berkaitan akta persekutuan atau ordinan negeri, ketegangan tidak dapat dielakkan. Pada tahap ini, cara komunikasi dan rundingan dijalankan menjadi penentu sama ada konflik itu meruncing atau disalurkan secara konstruktif.
Diplomasi domestik mempunyai ciri yang hampir menyerupai diplomasi antarabangsa. Bahasa yang digunakan bersifat berhati-hati dan terkawal. Rundingan sering berlaku secara tertutup bagi mengelakkan tekanan politik terbuka.
Sensitiviti identiti wilayah sangat tinggi, khususnya apabila melibatkan naratif hak negeri.
Kenyataan awam pula dirangka dengan teliti bagi mengelakkan salah tafsir atau reaksi berlebihan.
Dalam konteks ini, kita melihat elemen seperti pemeliharaan maruah bersama, iaitu usaha kedua-dua pihak memastikan tiada mana-mana pihak yang dilihat tewas atau dipermalukan secara terbuka.
Terdapat juga unsur ketaksaan strategik, iaitu kenyataan yang tidak terlalu terperinci tetapi sengaja dirangka untuk membuka ruang perundingan lanjut. Pemberian isyarat dasar pula berlaku melalui kenyataan media, pertemuan rasmi atau pelantikan jawatankuasa tertentu sebagai tanda kesediaan untuk berbincang.
Sementara itu, perundingan tertutup atau rundingan senyap menjadi saluran utama bagi mencapai titik persetujuan tanpa tekanan persepsi awam yang berlebihan.
Hakikatnya, hubungan formal dan tidak formal antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri merangkumi rundingan fiskal, penyelarasan dasar, penyelesaian pertindihan bidang kuasa dan mekanisme konsultasi berterusan.
Walaupun istilah akademiknya mungkin berbeza secara praktik namun berfungsi seperti diplomasi, cuma dalam ruang domestik.
Tanpa komunikasi strategik, tindakan undang-undang mudah dilihat sebagai penafian hak atau penghakisan autonomi.
Persepsi ini boleh meningkatkan ketegangan politik dan mengukuhkan naratif perbezaan, bukan kebersamaan.
Sebaliknya, dengan komunikasi strategik yang tersusun, isu yang sama boleh dipersembahkan sebagai proses penyelarasan struktur federalisme demi kejelasan dan kepastian jangka panjang.
Justeru, pengukuhan diplomasi domestik memerlukan kerangka rundingan yang berinstitusi. Antaranya, penubuhan jawatankuasa tetap pusat–negeri berkaitan sumber asli, termasuk protokol penyelarasan pelesenan dan mekanisme konsultasi sebelum penguatkuasaan dilaksanakan.
Struktur tetap ini mengurangkan kebergantungan kepada tindakan ad hoc dan memberi ruang dialog sebelum konflik diterjemahkan kepada tindakan undang-undang.

Malaysia telahpun mempunyai pengalaman dalam membina kerangka rundingan berinstitusi antara pusat dan negeri. Penubuhan Jawatankuasa Khas MA63 memperlihatkan isu yang kompleks dan sarat sejarah boleh diurus melalui meja rundingan berstruktur.
Begitu juga Majlis Kewangan Negara yang menjadi platform tetap penyelarasan fiskal antara kerajaan. Pengalaman terdahulu dalam isu royalti petroleum melibatkan Terengganu dan Kelantan turut membuktikan penyelesaian politik melalui perundingan sering lebih mampan berbanding konfrontasi berpanjangan di mahkamah. Justeru, cadangan memperkukuh diplomasi domestik melalui jawatankuasa tetap sumber asli bukanlah sesuatu yang baharu, tetapi lanjutan kepada amalan federalisme yang telah sedia wujud.
Pendekatan ‘menang-menang’ juga perlu diberi keutamaan. Pengiktirafan simbolik terhadap hak dan sejarah negeri boleh berjalan seiring dengan jaminan kesinambungan kontrak pelabur di peringkat nasional.
Model perkongsian hasil yang lebih telus dan dikemas kini dari semasa ke semasa boleh mengurangkan rasa tidak seimbang fiskal. Dalam Persekutuan yang matang, keadilan meliputi soal angka dan juga soal rasa dihormati.
Aspek ketiga ialah pengurusan persepsi awam. Isu seperti petroleum mudah dimuatkan dengan sentimen identiti kenegerian. Naratif ‘hak negeri’ mempunyai nilai emosi yang tinggi.
Jika komunikasi awam tidak diselaraskan, setiap tindakan undang-undang boleh ditafsirkan sebagai konfrontasi politik. Oleh itu, kenyataan bersama, penjelasan teknikal yang telus dan kesediaan kedua-dua pihak untuk mengakui keperluan rundingan menjadi elemen penting dalam meredakan suhu politik.
Dalam konteks ini, pembinaan keupayaan institusi menjadi sama penting dengan kerangka perundangan. Usaha memperkukuh kefahaman nilai bernegara dan kemahiran komunikasi dalam kalangan penjawat awam muncul sebagai sebahagian daripada infrastruktur diplomasi domestik itu sendiri.
Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), misalnya, melalui kursus Malaysia Madani dan modul komunikasi strategik berperanan membentuk kepekaan pegawai terhadap dimensi nilai, persepsi dan pengurusan wacana awam.
Begitu juga Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) yang menganjurkan kursus ketatanegaraan bagi memperkukuh pemahaman sejarah pembentukan negara dan struktur Persekutuan.
Inisiatif sebegini menyumbang kepada pembinaan budaya pentadbiran yang lebih berhemah, berfakta dan berpaksikan semangat Persekutuan.
Pada akhirnya, penyelesaian yang mampan bergantung kepada tiga syarat utama. Pertama, kesediaan kedua-dua pihak menerima kerangka penyelesaian politik selepas tafsiran undang-undang diperoleh. Kedua, komitmen untuk meminda atau menyelaras undang-undang jika wujud pertindihan atau kekaburan. Ketiga, pengurusan persepsi awam secara bersama supaya proses rundingan dilihat sebagai usaha memperkukuh, bukan melemahkan, struktur negara. –UTUSAN
PENULIS ialah Perunding Latihan, Pusat Pengajian Komunikasi dan Bahasa, Munsyi Muda Bahasa, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).










