Pegawai imigresen, ejen terlibat sindiket pembantu rumah ditahan - Utusan Malaysia

Pegawai imigresen, ejen terlibat sindiket pembantu rumah ditahan

ZAKARIA SHAABAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua individu iaitu seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan ejen ditahan selepas terlibat dalam sindiket penyalahgunaan pas serta manipulasi sistem permohonan Pembantu Rumah Asing (PRA) secara dalam talian.

Tangkapan dibuat dalam satu operasi khas yang dijalankan semalam di sekitar Setia Tropika, Johor Bahru oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama JIM Negeri Johor.

Operasi berkenaan merupakan kesinambungan kepada tindakan penguatkuasaan yang telah dilaksanakan pada 2 dan 3 Mac lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, dalam operasi tersebut, seorang pegawai imigresen lelaki berusia 31 tahun yang dipercayai bertindak sebagai ‘pemudah cara’ dalam memproses permohonan berkaitan.

Katanya, turut dirampas dalam serbuan itu ialah sebuah telefon bimbit serta beberapa dokumen yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan berkenaan.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai meluluskan kemudahan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) kategori PRA kepada individu yang tidak memenuhi syarat ditetapkan.

“Suspek kini disiasat mengikut Seksyen 56(1A)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan telah dibawa ke Pejabat Imigresen Johor bagi tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, dua lagi pegawai imigresen masing-masing terdiri seorang lelaki dan wanita tempatan turut diberikan notis hadir ke pejabat imigresen bagi membantu siasatan.

Jelasnya, JIM menegaskan kejayaan operasi tersebut mencerminkan komitmen jabatan itu dalam mempergiat penguatkuasaan undang-undang imigresen termasuk memperkukuh pemantauan terhadap sistem digital bagi memastikan kemudahan imigresen negara tidak disalahgunakan.

“Sebarang cubaan menyalahgunakan kemudahan imigresen negara tidak akan dikompromi dan jabatan itu tidak akan melindungi mana-mana pegawai yang terlibat dalam salah laku.

“Orang ramai turut digesa menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang imigresen bagi memelihara integriti sistem imigresen dan keselamatan negara,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini