MELBOURNE: Prinsipal pasukan Formula satu (F1) Mercedes, Toto Wolff mengakui pasukannya tidak akan mendominasi musim ini selepas aksi sengit yang dipamerkan oleh Ferrari dalam perlumbaan pembukaan musim di Grand Prix (GP) Australia.
Walaupun dua pemandu Mercedes, George Russell dan Kimi Antonelli menguasai sesi kelayakan dengan menduduki petak pertama dan kedua, Ferrari tetap memberi tentangan hebat sebaik perlumbaan bermula.
Menurut Wolff, prestasi yang dipamerkan Ferrari jelas menunjukkan pasukan dari Maranello itu mampu menjadi pencabar utama Mercedes sepanjang musim ini.
“Ramai menjangkakan kami akan meninggalkan Ferrari jauh berdasarkan simulasi kelajuan perlumbaan tetapi itu tidak berlaku.
“Kami tahu Ferrari sangat kuat ketika permulaan dan itulah yang berlaku. Pada awal perlumbaan, ia benar-benar pertarungan antara (Charles) Leclerc (pelumba Ferrari) dan Russell,” katanya.
Wolff turut menjelaskan bahawa peraturan semasa Formula Satu (F1) menjadikan perlumbaan lebih sengit kerana sukar untuk sesebuah kereta membuka jurang besar apabila berada dalam kelompok rapat.
Katanya, hanya apabila sesebuah kereta memperoleh ruang udara bersih barulah kelebihan kelajuan sebenar dapat ditonjolkan.
Dalam masa sama, Wolff menyifatkan prestasi baik Mercedes pada perlumbaan pembukaan musim ini cukup bermakna selepas pasukan itu melalui beberapa musim yang sukar sebelum ini. – AGENSI/UTUSAN










