Duda OKU syukur dapat nikmat raya bersama dua anak

Duda OKU syukur dapat nikmat raya bersama dua anak

MOHD. Adam Mat Noh (kiri) dan Mohd. Razak menunjukkan pakaian raya sumbangan kerajaan negeri di Felda Kota Gelanggi Empat di Jerantut. Pahang. – UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: “Lemang, ketupat dan rendang hanya mampu saya bayangkan sebelum ini, tetapi Aidilfitri kali ini benar-benar membawa sinar baharu buat kami tiga beranak.”

Demikian luahan penuh syu­kur Mat Noh Mohamed, 57, duda berstatus orang kurang upaya (OKU) yang tinggal bersama dua anak lelakinya di Felda Kota Ge­langgi Empat di sini.

Mat Noh yang mengalami kecacatan fizikal selepas kemalangan motosikal sehingga paha kanan pendek, selain menghidap kencing manis dan gangguan saraf, mengakui kehidupannya selama ini begitu terhimpit.

Tanpa pekerjaan tetap, dia hanya bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan sedikit hasil sawit untuk membeli barang dapur.

Lebih memilukan, anak bongsunya, Mohd. Adam, 7, mende­rita masalah usus terkeluar dan bakal menjalani rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh manakala abangnya Mohd. Razak, 11, masih bersekolah rendah.

“Selama ini, hari raya kami sekadar menjamah apa yang ada di rumah. Kuih-muih untuk te­tamu jauh sekali. Tetapi kali ini, anak-anak saya dapat baju baharu, kasut, malah rumah pun lebih selesa.

“Saya sangat berterima kasih. Aidilfitri kali ini benar-benar bermakna buat kami,” katanya sebak ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.

Ramadan dan Syawal tahun ini membawa kelegaan buat OKU tersebut apabila Majlis Pembangunan Wanita Pahang (MPWP), Gabungan Persatuan Wanita (GPW), Wanita UMNO serta Penyelaras Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) Pulau Tawar tampil membantu.

Rumah Mat Noh dibersihkan secara gotong-royong, dilengkapi perabot baharu, tilam, almari dan juadah raya.

Pengerusi GPW Felda Kota Gelanggi Empat, Sabariah Mu­da, 66, berkata, seramai la­pan ahli GPW bersama dua pekerja turun padang membersihkan rumah dan menyediakan kelengkapan raya buat Mat Noh sekeluarga.

“Kami mahu anak-anak Mat Noh merasai kemeriahan Aidilfitri seperti kanak-kanak lain. Mereka diberikan tiga pasang baju raya, kasut, songkok dan kuih-muih,” ujarnya.

Sumbangan itu adalah hasil usaha Pengerusi MPWP Jerantut yang juga Penyelaras DUN Pulau Tawar, Norsarfinaz Mohd. Azman, yang prihatin terhadap nasib keluarga tersebut selepas kisah mereka tular di media sosial. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×