KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret Selayang dekat sini hari ini mendenda sebuah syarikat RM6,000 kerana menjual sebatang rokok kepada remaja bawah umur, tahun lalu.
Majistret Chai Guan Hock menjatuhkan hukuman itu ke atas Bintang Muara Enterprise yang diwakili pemiliknya, Muhammad Aiyub Razali selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan terhadap syarikat itu.
Muhammad Aiyub yang mewakili syarikat itu selaku Orang Kena Saman (OKS) boleh dipenjarakan selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda itu. OKS yang diwakili peguam bela Ainul Farihah Azizi membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, syarikat itu didakwa menjual sebatang rokok berjenama D’Blend kepada seorang remaja lelaki bawah umur berusia 17 tahun di sebuah premis di Bandar Tasik Puteri Rawang, Gombak, kira-kira pukul 1 tengah hari, 26 September 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 13(1) dan Seksyen 13(2) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.
Seksyen 13(2)(a)(i) akta sama memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau dipenjara maksimum setahun atau kedua-duanya.
Pegawai pendakwa Pejabat Kesihatan Daerah Gombak, Muhammad Nur Azwan Mat Azmi memohon satu hukuman berbentuk pencegahan yang setimpal agar ia menjadi pengajaran kepada OKS.
“Hukuman itu juga sebagai satu bentuk amaran keras kepada peniaga lain supaya lebih bertanggungjawab dan mematuhi undang-undang demi melindungi kesihatan generasi muda.
“Tindakan OKS menjual produk ini kepada individu bawah umur bukan sahaja melanggar peruntukan undang-undang, malah mendedahkan mangsa kepada risiko ketagihan nikotin seawal usia muda,” katanya. – UTUSAN









