Konflik Asia Barat: Bulan Sabit Merah gesa lindungi orang awam - Utusan Malaysia

Konflik Asia Barat: Bulan Sabit Merah gesa lindungi orang awam

TUNKU Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) menzahirkan kebimbangan mendalam terhadap peningkatan konflik yang semakin meruncing di beberapa kawasan di Asia Barat serta ketegangan yang kian memuncak antara Afghanistan dan Pakistan.

Situasi itu bukan sahaja mengancam keselamatan orang awam malah dikhuatiri memburukkan lagi krisis kemanusiaan bagi komuniti sedia ada yang berdepan kesukaran hidup.

Pengerusi Kebangsaan BSMM, Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah berkata, semua pihak yang terlibat perlu menghormati Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa (UUKA) demi memastikan perlindungan kepada golongan tidak berdosa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Fikiran dan doa kami bersama semua yang terjejas akibat konflik ini.

“Kami menyeru semua pihak agar melindungi orang awam serta memberi laluan kepada pasukan kemanusiaan untuk menyalurkan bantuan kecemasan tanpa sebarang gangguan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

BSMM turut menggariskan beberapa perkara kritikal yang mesti dihormati oleh semua pihak terlibat antaranya:
* Perlindungan orang awam dan petugas kemanusiaan.
* Keselamatan infrastruktur awam termasuk hospital dan kemudahan perubatan.
* Penghormatan terhadap lambang Palang Merah dan Bulan Sabit Merah.

Dalam pada itu, BSMM turut menyatakan solidariti kepada petugas Gerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa yang kini berkhidmat di lapangan dalam keadaan berisiko tinggi.

Memetik laporan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), peningkatan operasi ketenteraan memberi risiko besar kepada orang awam.

Justeru, pasukan kemanusiaan kini giat menyediakan rawatan perubatan kecemasan dan memperkukuh kesiapsiagaan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan.

Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) juga sedang menyelaras usaha bantuan bagi memantau keperluan kemanusiaan yang semakin mendesak di rantau berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini