ARAU: Kanak-kanak menghabiskan masa lebih lapan jam sehari melayari kandungan internet menggunakan telefon pintar atau gajet.
Perkembangan membimbangkan itu menunjukkan tahap kesedaran ibu bapa terhadap kepentingan mengawal dan memantau penggunaan internet termasuk media sosial oleh anak-anak di bawah umur masih rendah.
Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Perlis, Norrazlina Nordin berkata, kanak-kanak yang mula mengenali gajet banyak terpengaruh dengan tontonan menyeronokkan di internet khususnya di media sosial dan platform Youtube.
Beliau berkata, disebabkan itu, MCMC sering menekankan mengenai kepentingan kawalan oleh keluarga terhadap penggunaan gajet membabitkan anak-anak mereka.
“Mengikut statistik, kanak-kanak menghabiskan masa lebih lapan jam sehari menggunakan internet. Disebabkan itu kita tekankan kawalan oleh keluarga ini dengan mereka boleh tetapkan had penggunaan internet melalui telefon pintar sendiri atau Wi-fi yang dipasang di rumah.
“Kelaziman, ibu bapa memberi telefon kepada anak-anak ini untuk senyapkan mereka. Dalam kempen, kita selalu terapkan gajet bukan ‘pengasuh’ agar ibu bapa tahu internet ini tidak salah, yang salah apabila anak-anak ini menonton tanpa kawalan,” katanya ketika ditemui pada Program Kempen Internet Selamat@Bazar Ramadan 2026 Peringkat Negeri di Bazar Ramadan Arau di sini, kelmarin.
Norrazlina berkata, pelaksanaan kempen internet selamat turut melibatkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), selain para pelajar bagi meningkatkan kesedaran tersebut.
“Selain untuk pelajar, kita juga tekankan kempen ini kepada ibu bapa. Ada dalam kalangan ibu bapa yang kita dapati tidak pasti mengenai kandungan apa yang ditonton oleh anak-anak ketika melayari internet,” katanya.
Beliau berkata, menerusi kempen internet selamat, maklumat mengenai kandungan yang sesuai untuk kanak-kanak mengikut tahap umur masing-masing turut diberikan.
Katanya, informasi tersebut akan dikongsi kepada ibu bapa untuk mengawal serta memantau anak-anak mereka.
Dalam pada itu, beliau berkata, MCMC juga telah menyelesaikan kempen internet selamat di semua sekolah di negeri ini pada tahun lalu. – UTUSAN










