Tiga usahawan tebus kegagalan dengan Sabak Salai Shop

Tiga usahawan tebus kegagalan dengan Sabak Salai Shop

MOHAMMAD Taqdir Sajin (tengah) bersama Nurrul Admiena Norrizan dan Nur Fatini Ahmad ketika ditemui di Sabak Salai Shop.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERMULA dengan kejatuhan beberapa perniagaan yang pernah mereka bangunkan, tiga sahabat usahawan ini pernah berada di titik paling sukar dalam hidup masing-masing.

Mohammad Taqdir Sajin, 37,  berdepan dengan cabaran dalam perniagaan salainya, Nurrul Admiena Norrizan, 42, pula menamatkan operasi perniagaan tart keju yang sebelum ini berkembang hingga ke Singapura, apabila ia tidak lagi mampu bertahan. 

Sementara itu, Nur Fatini Ahmad, 38, membuat keputusan sukar untuk menghentikan bisnes kereta sewanya.

Tanpa bantuan keluarga dan tanpa pelan sokongan kewangan yang kukuh, ketiga-tiga mereka berdepan ketidakpastian. 

Daripada detik paling getir itulah, tiga sahabat ini bergabung tenaga bagi membina empayar perniagaan baharu yang kini dikenali sebagai Sabak Salai Shop.

Mohammad Taqdir, Nurrul Admiena dan Nur Fatini Ahmad yang masing-masing memegang jawatan Pengurus Operasi, Pengurus Pembangunan Perniagaan, Jualan dan Pemasaran serta Pengurus Kewangan dan Sistem kini bersatu di bawah syarikat Trempire Venture yang terletak di Rembau, Negeri Sembilan.

Mohammad Taqdir berkata, perjalanan Sabak Salai bermula daripada impian bersama arwah ayahnya, Sajin Moosthapha.

“Saya pernah membantu arwah ayah menguruskan penternakan ayam kampung dan itik penelur. 

“Pada 2014, saya dan arwah ayah melihat potensi produk salai warisan Negeri Sembilan untuk dikomersialkan secara lebih serius. Ketika itu, produk salai kebanyakannya dijual secara kecil-kecilan di tepi jalan sekitar Rembau dan Kuala Pilah tanpa pembungkusan yang baik.

“Hasil kajian pasaran dan penyelidikan proses penyalaian yang terbaik, mereka membina sebuah rumah asap khas dinamakan Sabak diperbuat daripada batu bata, simen dan besi, berkapasiti besar sehingga empat tan sebulan serta mampu menghasilkan produk yang bersih dan masak sekata. 

“Aroma asli dikekalkan menggunakan kayu pokok buah-buahan dan tempurung kelapa sebagai bahan bakar tradisional,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Berkelulusan Diploma Pengurusan Perniagaan dan berpengalaman sebagai penasihat pinjaman peribadi di CIMB Bank serta pengurus akaun di Canon Marketing (M) Sdn. Bhd., dia tidak pernah melupakan akar umbi kehidupannya di kampung.

“Inovasi ini membuahkan hasil apabila Sabak Salai menerima pelbagai anugerah serta geran atas inovasi dan daya saing perniagaan,” katanya. 

Pada 2023, Sabak Salai melangkah ke fasa baharu apabila Mohammad Taqdir bergabung dengan dua rakan kongsi strategik Nurrul Admiena dan Nur Fatini.

Nurrul Admiena, graduan Ijazah Sarjana Muda Kepujian Pengurusan Perniagaan (Pemasaran), melihat potensi besar Sabak Salai yang masih belum diterokai sepenuhnya, selain keserasian dan keserasian antara mereka bertiga sebagai asas kukuh membangunkan jenama ini ke tahap lebih tinggi.

Sementara itu, Nur Fatini pula melihat Sabak Salai bukan sekadar perusahaan kecil, tetapi jenama berpotensi besar yang boleh diketengahkan hingga ke peringkat antarabangsa melalui pengurusan kewangan dan operasi yang lebih tersusun.

“Gabungan kepakaran operasi, pemasaran serta kewangan menjadikan Sabak Salai lebih kukuh dan bersistematik sejak 2023. Kini, kilang Sabak Salai telah memperoleh pengiktirafan Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sekali gus meningkatkan keyakinan pelanggan dan rakan niaga.

“Malah, kami turut membangunkan pusat jualan produk salai berkonsepkan ‘Modern Smokehouse’ pertama di Malaysia yang dikenali sebagai Sabak Salai Shop,” katanya yang memegang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kewangan).

Bagi tiga rakan kongsi ini, kejayaan bukan sekadar soal keuntungan, tetapi tentang membina legasi produk salai warisan Negeri Sembilan agar terus relevan dan mampu bersaing di pasaran lebih luas.

Beroperasi di bawah industri makanan, Sabak Salai memfokuskan kepada pembuatan produk makanan bagi dua segmen utama iaitu Perniagaan kepada perniagaan (B2B) dan Perniagaan kepada pelanggan (B2C). 

Sehingga kini, Sabak Salai menawarkan 25 jenis produk dengan julat harga serendah RM5 hingga RM95, menjadikannya mampu milik untuk pelbagai lapisan pelanggan. 

Antara kategori utama produk ialah produk Salai (tujuh jenis) termasuk daging salai, ayam salai, itik salai, ikan keli salai, dada itik salai, kambing perap salai dan ikan saba/makerel salai.

Selain itu terdapat produk sedia untuk dimakan iaitu masak lemak cili api daging Salai dan Itik Salai, Rendang Rembau serta BokaMeal Garlic Chilli Oil.

Sabak Salai juga menyediakan produk sedia untuk dimasak seperti Majesty Spice “All Purpose Spices”, dry rub marination, pes lemak cili api, pes kari dan pes asam pedas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×