KUALA LUMPUR: Jenama kafe dan pastri tempatan, Dotty’s Pastries & Coffee menyaksikan pertumbuhan jualan dan perluasan pasaran setelah memperoleh pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi dapur pusatnya sejak 2023.
Pengurus Kanan Komersial dan Pembangunan Continuum Hospitality Group, Kaylee Low berkata, pensijilan tersebut meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap produk yang ditawarkan, sekali gus membuka lebih banyak peluang kerjasama perniagaan termasuk dengan syarikat korporat, hotel dan syarikat penerbangan.
Katanya, walaupun jenama itu sejak awal mematuhi keperluan halal dari segi bahan dan proses penyediaan makanan, pensijilan rasmi memberikan jaminan tambahan kepada pelanggan khususnya dalam kalangan pengguna beragama Islam.
“Apabila kami mengumumkan bahawa dapur pusat telah mendapat pensijilan halal, kami menerima banyak maklum balas positif daripada pelanggan.
“Ia juga memudahkan kami untuk bekerjasama dengan organisasi besar yang mensyaratkan pembekal makanan mempunyai pensijilan halal,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di cawangannya di Suria KLCC baru-baru ini.
Beliau berkata, pensijilan tersebut turut membuka peluang kepada Dotty’s Pastries & Coffee untuk meneroka segmen perniagaan ke perniagaan (B2B), termasuk penyediaan katering kepada syarikat korporat.
Menurutnya, kebanyakannya pelanggan katering mereka memerlukan pembekal makanan dengan pensijilan halal kerana mempunyai ramai pekerja dan pelanggan Islam.
“Dalam memastikan pematuhan berterusan terhadap piawaian halal, syarikat turut melantik pegawai halal dalaman yang bekerjasama rapat dengan pembekal, chef pastri serta pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D).
“Pegawai tersebut bertanggungjawab memastikan semua bahan mentah diperoleh daripada pembekal yang mempunyai pensijilan halal serta memantau keseluruhan proses pengeluaran di dapur bagi memastikan ia mematuhi keperluan yang ditetapkan,” ujarnya.
Selain dapur pusat, Kaylee berkata, beberapa produk runcit Dotty’s Pastries & Coffee seperti granola juga telah memperoleh pensijilan halal, manakala proses pensijilan bagi produk lain dilaksanakan secara berperingkat.
Kaylee berkata pensijilan halal juga penting dalam menyokong strategi pengembangan syarikat, termasuk usaha memperluaskan pengedaran produk ke pasar raya, hotel dan saluran runcit lain.
“Banyak organisasi besar seperti pasar raya dan korporat memerlukan pembekal makanan yang mempunyai pensijilan halal. Jadi pensijilan ini membuka lebih banyak peluang untuk kami mengembangkan perniagaan,” katanya. – UTUSAN










