REMBAU: Air mineral beroksigen semula jadi, Bubbles O2, yang menerima pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak 2019 melihat pensjilan itu menjadi faktor penting dalam meningkatkan keyakinan pengguna terhadap produk berkenaan.
Pengarah Urusan Bubbles O2 Sdn. Bhd. berkata, Ain Azizah Arifin berkata, walaupun air mineral secara asasnya dianggap halal, proses pengeluaran produk tetap perlu melalui penilaian menyeluruh bagi memastikan setiap peringkat penghasilan mematuhi piawaian halal yang ditetapkan.
Katanya, proses mendapatkan pensijilan halal bagi produk Bubbles O2 mengambil masa kira-kira enam bulan, melibatkan pemeriksaan terhadap bahan mentah, proses penapisan, peralatan serta premis pengeluaran.
“Ramai beranggapan air mineral tidak memerlukan pensijilan halal.
“Namun dalam proses penapisan, terdapat bahan seperti carbon filter yang perlu dipastikan tidak mengandungi unsur daripada sumber tidak halal seperti tulang haiwan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain produk, jelasnya, pensijilan halal turut melibatkan premis kilang serta rantaian bekalan, bagi memastikan keseluruhan operasi pengeluaran mematuhi standard kebersihan dan keselamatan makanan yang ditetapkan.
Ain Azizah berkata, pensijilan halal juga membantu memudahkan produk Bubbles O2 menembusi rangkaian pasar raya serta platform runcit utama yang lazimnya menetapkan status halal sebagai salah satu syarat penyenaraian produk.
“Di peringkat antarabangsa pula, pengiktirafan halal Malaysia dilihat memberi nilai tambah kepada produk tempatan untuk memasuki pasaran global, khususnya di negara-negara Asia Tenggara dan Asia Barat.
“Pensijilan halal Malaysia sangat dipandang tinggi kerana ia menunjukkan produk tersebut bukan sahaja halal tetapi juga bersih dan berkualiti,” katanya.
Dalam masa yang sama, Ain Azizah berkata, permintaan terhadap produk air mineral beroksigen itu dilaporkan meningkat dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, sejajar dengan kesedaran pengguna yang semakin menitikberatkan aspek kesihatan dan kesejahteraan.
“Produk Bubbles O2 dipasarkan sebagai air mineral yang mengandungi oksigen terlarut secara semula jadi, sekali gus membezakannya daripada kebanyakan produk air beroksigen di pasaran yang biasanya menggunakan teknologi untuk menyuntik oksigen ke dalam air.
“Dengan gabungan kualiti produk, pensijilan halal dan strategi pemasaran yang agresif, syarikat optimis produk air mineral premium tempatan seperti Bubbles O2 mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya. – UTUSAN









