BESUT: Remaja lelaki yang dilaporkan hilang semasa dalam perjalanan ke Cameron Highlands, Pahang sempat singgah di Petron Benting Lintang, di sini sebelum gagal dihubungi oleh pihak keluarga.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Rozaime Ab. Rahim berkata, pihaknya memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak tersebut selepas menerima laporan daripada keluarganya pada Jumaat lalu berhubung kehilangan Ahmad Azreeq Zafreen Ahmad Azhar, 19.
“Polis sedang giat mengesan keberadaan mangsa dan satu kertas siasatan orang hilang (OH) telah dibuka. Bagi mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil ke balai polis berdekatan atau Ibu pejabat Polis Daerah Besut bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, bapa remaja lelaki itu, Ahmad Azhar Mohamad Yusof, 59, sedang berusaha mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa bagi melihat rakaman CCTV di beberapa stesen minyak di Besut bagi mengesan anaknya itu yang dipercayai hilang sejak Khamis lalu.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan hasrat tujuh sekeluarga dari Kampung Batin, Seberang Takir di Kuala Terengganu untuk bercuti di Cameron Highlands tidak kesampaian apabila anak sulung mereka dilaporkan hilang dan gagal dihubungi.
Ahmad Azreeq Zafreen yang menunggang motosikal jenis Yamaha R15 dilaporkan kali terakhir dikesan di sebuah stesen minyak sebelum kehilangan jejak. – UTUSAN











