KLUANG: Dua lelaki maut selepas motosikal dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 6, Jalan Kluang–Teck Wah Hing, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, penunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR, Palany, 54, dan sepupunya, Thanagaran, 36, maut di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa tersebut dalam perjalanan dari Bandar Kluang menuju ke Taman Kluang Barat.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta jenis Proton Saga yang dipandu seorang wanita berusia 46 tahun dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan motosikal sebelum bertembung dengan kenderaan itu.
“Akibat perlanggaran tersebut, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta putus kaki kiri di bahagian betis,” katanya dalam kenyataan.
Bahrin berkata, pembonceng motosikal pula mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.
Katanya, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pemandu kereta terbabit hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki kanan. Ujian saringan air kencing yang dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang mendapati suspek negatif dadah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemandu kereta berkenaan ditahan reman bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau terus ke IPD Kluang bagi membantu siasatan. – UTUSAN









