PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menziarahi Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin yang sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang pagi tadi.
Anwar berkata, keadaan pemimpin Pas itu dilaporkan baik dan mereka sempat berbual panjang ketika kunjungan berkenaan.
“Pagi ini saya ke utara tanah air untuk lawatan kerja di Pulau Pinang dan Kedah. Sebelum meneruskan jadual, saya singgah ke Hospital Pulau Pinang untuk menziarahi sahabat lama.
“Alhamdulillah, beliau dalam keadaan baik dan kami sempat berbicara panjang. Saya turut menyampaikan salam Azizah kepada beliau dan keluarga serta mendoakan afiyah dan kesembuhan segera buat Ustaz Hashim.
“Di hospital sama, saya turut menziarahi seorang jururawat Kementerian Kesihatan (KKM) yang terbabit dalam nahas jalan raya ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.
“Saya hargai pengorbanan petugas kesihatan yang begitu besar jasanya dalam menjaga dan berkhidmat kepada masyarakat,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Sebelum beredar, Anwar turut mendapatkan perkembangan projek naik taraf kemudahan di hospital berkenaan bagi memastikan usaha meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan dapat dilaksanakan dengan lancar demi manfaat rakyat.
Pada 5 Mac lalu, anak sulung Hashim, Dr. Nabilah Hashim memaklumkan bapanya yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang menunjukkan perkembangan positif apabila sudah mula membuka mata dan bersuara.
Menurutnya, bapanya bukan sahaja sudah boleh bercakap, malah turut menyampaikan tazkirah selain menyatakan keinginan untuk menikmati beberapa jenis makanan.
Sebelum ini media melaporkan Hashim menerima rawatan akibat masalah kesihatan di Hospital Tuanku Fauziah sejak 9 Februari lalu sebelum dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang kerana memerlukan rawatan pakar.
Untuk rekod, Hashim dilantik sebagai Mursyidul Am Pas keempat pada 10 Oktober 2016 oleh Majlis Syura Ulama Pas bagi menggantikan Allahyarham Datuk Dr. Haron Din yang meninggal dunia pada 16 September tahun sama. – UTUSAN










