Muka baharu senjata hadapi Piala Dunia

Muka baharu senjata hadapi Piala Dunia

Ahmad Jais Baharun
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kehadiran enam muka baharu dalam program podium 2026 dianggap kunci persiapan skuad sepak takraw negara menjelang aksi Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di tanah air pada Mei ini.

Ketua jurulatih, Ahmad Jais Baharun berkata, kehadiran pemain baharu bakal memberi saingan sihat dan memperkukuh prestasi pasukan menjelang Piala Dunia.

Katanya, meskipun terdapat beberapa pertukaran pemain dalam pasukan, fokus utama kini adalah persiapan untuk acara regu, berpasukan dan kuadran.

“Kemasukan muka baharu membolehkan kita menilai potensi pemain muda, terutamanya bagi acara kuadran, sekali gus memastikan pengganti pemain senior bersedia daripada peringkat awal,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau menekankan bahawa pemilihan pemain baru berasaskan prestasi, potensi dan keperluan perancangan pasukan.

“Kita mahu pemain yang diberi tanggungjawab dalam program podium serius meningkatkan kualiti prestasi agar bersedia menghadapi cabaran antarabangsa,” katanya.

Ahmad Jais turut mengingatkan bahawa saingan acara kuadran kali ini lebih mencabar, memandangkan negara-negara serantau Asia semakin mantap.

“Kejohanan Pra Sukan Asia baru-baru ini menyaksikan pasukan India mengejutkan Jepun. Ini menunjukkan pasukan negara perlu menambah usaha bagi mencabar kejuaraan Piala Dunia,” tegasnya.

Beliau berharap pemain baharu dapat memanfaatkan peluang ini untuk menimba pengalaman antarabangsa dan bersedia menggalas tanggungjawab negara di peringkat dunia.

“Pemain perlu ambil tanggungjawab sebaiknya untuk menggalas cabaran pasukan negara,” katanya.

Sebelum ini, Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) melakukan rombakan kecil dengan menyenaraikan enam muka baharu dalam skuad lelaki kebangsaan mengharungi kalendar kejohanan utama musim ini.

Daripada keseluruhan 21 pemain yang dipilih, Muhammad Fahmi Khalid dan Zuhri Muhammad Zin adalah tekong baharu yang tersenarai, manakala Muhammad Nazrein

Daniel Mohd Kamal Mustafa serta Muhammad Wazir Madi mengisi posisi apit kanan.

Sementara itu, Mohammad Kamarul Ezzad Mohammad Kamarul Imran dan Muhammad Zulfikri Wajawwa Muhammad Zulhanifa pula sebagai pengumpan, sekali gus bakal memberi cabaran sengit kepada pemain senior dalam usaha memburu tempat dalam barisan utama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×