ALOR SETAR: Kemudahan tempat letak kereta bertingkat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dijangka siap pada hujung bulan depan, sekali gus menyelesaikan masalah kekurangan parkir yang sekian lama dihadapi pesakit, pelawat serta kakitangan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kemudahan yang menelan kos RM13.96 juta itu merupakan inisiatif kerajaan Persekutuan bagi menambah baik prasarana di hospital kerajaan yang mempunyai jumlah pengunjung tinggi setiap hari.
“Kemudahan parkir bertingkat ini menyediakan 500 petak berbumbung dan 400 petak terbuka yang dijangka siap mengikut jadual iaitu pada 30 April sebelum dibuka sepenuhnya kepada pengunjung.
“Tempat letak kereta baharu ini diyakini dapat mengurangkan masalah kesesakan yang sering berlaku di kawasan hospital ini selain memberi keselesaan kepada mereka,” katanya selepas melakukan lawatan kerja ke HSB, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa meneliti keperluan untuk menaiktaraf kemudahan di hospital kerajaan dari masa ke semasa bagi memastikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat.
“Selain itu kementerian turut menyalurkan peruntukan pembangunan HSB dari 2023 hingga 2025 berjumlah RM6.93 juta yang melibatkan 63 projek keseluruhan,” jelasnya.
Dalam pada itu, KKM katanya turut menambah peralatan makmal invasif kardiologi (ICL) di HSB yang bernilai RM22.5 juta dalam usaha mengurangkan tempoh menunggu pesakit jantung yang menerima prosedur di situ.
“Ini adalah ICL kedua di HSB yang tentunya dapat mengurangkan masa menunggu pesakit yang ingin melakukan prosedur di hospital ini sehingga 50 peratus. Pihak hospital komited dalam melaksanakan perkara itu termasuk dengan kehadiran enam doktor pakar dalam rawatan jantung ini,” katanya. – UTUSAN











