PETALING JAYA: Seorang lelaki warga asing yang membawa lori tanpa memiliki Lesen Memandu Barang (GDL) dan tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) ditahan dalam Op Kenderaan Perdagangan di Jalan Banting, di sini semalam.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor, Azrin Borhan berkata, dalam operasi itu, lori berkenaan ditahan bagi pemeriksaan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati lori itu dipandu lelaki warga asing tanpa memiiki lesen CDL dan GDL.
“Lori itu juga didapati membawa barangan melebihi berat dengan muatan yang dinyatakan.
“Pemandu juga melakukan kesalahan tidak mengambil langkah keselamatan melindungi pengguna jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, susulan itu, kenderaan terbabit disita di Stesen Penguatkuasa (SPK) Banting untuk tindakan selanjutnya.
“JPJ Negeri Selangor sentiasa memberi perhatian dan menjalankan pemantauan secara berterusan ke atas semua aduan dan memastikan kenderaan sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang ditetapkan,” jelasnya. – UTUSAN










