KUALA LUMPUR: Tindakan saman yang difailkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) terhadap 16 bekas Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang meninggalkan parti itu selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bertujuan memberi mesej jelas supaya mana-mana pihak tidak memungkiri perjanjian atau bon yang telah dimeterai dengan parti.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tindakan tersebut merupakan susulan daripada keputusan yang diterima parti apabila memfailkan saman terhadap Naib Presidennya, Datuk Zuraida Kamaruddin dakwaan melanggar syarat bon yang mengikatnya kepada parti sebelum ini.
“Susulan itu, kami mengaktifkan klausa bahawa semua wakil rakyat dan calon-calon parti sebelum PRU14 telah menandatangani bon dengan parti, termasuk saya sendiri.
“Sekiranya bon itu dilanggar, maka inilah akibatnya. Selepas kita melihat duluan insiden dalam kes Zuraida Kamaruddin, kini tiba masanya untuk kita mengambil tindakan terhadap semua yang telah mengkhianati parti.
“Ini harus menjadi mesej yang sangat jelas bahawa selepas mereka menandatangani bon tersebut, janganlah dimungkiri. Biarlah keadilan mengambil tempatnya (so let justice serve its cause),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Bazar Raya NADI di Pusat Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, hari ini.
Semalam, PKR memfailkan saman terhadap 16 bekas Ahli Parlimen serta ADUN parti itu dan menuntut ganti rugi RM10 juta daripada setiap individu terbabit kerana meninggalkan PKR dua tahun selepas memenangi PRU14 pada 2018.
Saman atas dakwaan melanggar syarat bon itu difailkan oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr. Fuziah Salleh bagi pihak parti (plaintif) dalam dua tindakan berasingan melalui firma guaman Tetuan Messrs Nav & Co di Mahkamah Tinggi, masing-masing pada 19 dan 27 Februari lalu.
Mereka yang dinamakan sebagai defendan dalam saman itu ialah Baru Bian, Datuk Kamarudin Jaffar, Datuk Mansor Othman, Datuk Mohd Rashid Hasnon, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Datuk Seri Dr. R Santhara Kumar.
Selain itu, Datuk Abdul Yunus Jamhari, Datuk Azman Nasrudin, Dr. Afif Bahardin, Dr. Chong Fat Full, Dr. Daroyah Alwi, Haniza Mohamed Talha, Muhammad Hilman Idham, Datuk Muhammad Jailani Khamis, Dr. Robert Ling Kui Ee dan Zulkifli Ibrahim.
Dalam saman itu, PKR mendakwa bahawa bawah klausa operatif bon, setiap defendan berkenaan bersetuju untuk membayar RM10 juta kepada parti dalam tempoh tujuh hari selepas berlaku mana-mana peristiwa, termasuk defendan meletak jawatan daripada parti, menyertai parti politik lain atau menjadi wakil rakyat bebas.
Plaintif mendakwa telah melantik setiap defendan sebagai calonnya untuk bertanding pada PRU14 serta berjaya meraih beberapa kerusi Parlimen dan DUN, seterusnya membentuk Kerajaan Persekutuan serta beberapa kerajaan negeri. – UTUSAN










