Anak perantau pilih sambut raya di perantauan

Anak perantau pilih sambut raya di perantauan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ramai anak perantau dari Sabah dan Sarawak memilih untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri di Kuala Lumpur ekoran tambang penerbangan yang masih tinggi.

Seorang jurukamera sambilan, Mohd. Erwannizam Osmand, 25, berkata, walaupun kerajaan menetapkan harga maksimum tambang penerbangan sehala RM499, namun jumlah itu masih tidak mampu ditanggung sesetengah go­longan.

Menurutnya, perkara itu disebabkan terdapat kos lain yang perlu diambil kira seperti pengangkutan darat, kereta sewa dan perbelanjaan tambahan selepas tiba di destinasi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ramai yang hanya melihat kos tiket kapal terbang, tetapi tidak mengambil kira kos pengangkutan darat selepas tiba di destinasi.

“Saya perlu menyediakan sekurang-kurangnya RM600 hing­ga RM800 termasuk tiket ka­pal terbang dan sewaan ke­reta.

“Memandangkan perjalanan dari Kota Kinabalu ke Kudat mengambil masa sekitar empat hingga lima jam, saya tiada pilihan selain daripada menyewa kereta jika ingin pulang,” katanya.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan harga tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak meningkat antara 170 hingga 280 peratus susulan permintaan tinggi dalam kala­ngan perantau di Semenanjung yang ingin pulang menyam­but Aidilfitri.

Bagi tiket tambang murah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Sabah, harga ditawarkan antara RM564 hingga RM591.22 bagi perjalanan sehala bergantung kepada syarikat dan waktu penerbangan.

Bagi pekerja am, Ali Danial Hussein, 25, dia memilih untuk pulang ke kampung selepas Aidilfitri kerana harga tiket pada waktu tersebut lebih rendah berbanding musim perayaan.

Katanya, walaupun cuba men­dapatkan tiket lebih awal, kekangan kewangan me­nyebabkan dia terpaksa menangguhkan hasrat untuk pulang ke kampung halaman di Sarawak.

“Tipulah kalau saya kata tidak rindu kampung, tetapi dengan tekanan kewangan se­karang, saya terpaksa menang­guhkan hasrat untuk pulang ke bulan lain.

“Anggaran kos tiket dan pengangkutan sahaja sudah memakan lebih separuh daripada gaji saya yang baru mula bekerja, jadi menangguhkan pulang adalah pilihan terbaik,” katanya.

Bagi penuntut universiti, Nurul Hikmah Rumaini, 24, pula, walaupun harga tiket dikatakan sebagai tambang murah, jumlah tersebut masih dianggap mahal bagi kebanyakan pelajar.

Katanya, ada pelajar terpaksa melakukan kerja sambilan bagi mengumpul wang supaya dapat pulang menyam­but Aidilfitri bersama keluarga.

“Walaupun usaha ini membantu, ia masih belum mencukupi kerana mereka juga perlu menanggung pelbagai perbelanjaan lain seperti baju raya, duit poket dan keperluan harian sepanjang sambutan perayaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×