KAJANG: Seramai empat lagi lelaki ahli geng ‘Kapten Praba’ mengaku tidak bersalah atas tuduhan terlibat menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.
Mereka yang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 ialah C Navindren, 38; S Sridharan, 30; S Pratifkumar, 30 dan K Devaindran, 44.
Pengakuan itu dibuat selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet semasa prosiding di Mahkamah Kompleks Penjara Kajang, di sini.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Mahang 2, Kampung Sungai Jarom, Jenjarom, Kuala Langat pada Disember 2023 dan 11 September lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam, Chow Siang Kong dan Mohamad Fakhrurrazi Ahmad Salim manakala keempat-empat tertuduh diwakili peguam bela, Sean Duddley Samuel Jayarajan.
Semasa prosiding, Mohamad Mustaffa turut memohon keempat-empat tertuduh dibicarakan bersekali bersama 13 tertuduh lain yang didakwa menjadi ahli geng ‘Kapten Praba’.
“Kes ini melibatkan pertuduhan yang sama di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan dan kesalahan asasnya adalah menjadi ahli satu kumpulan jenayah terancang,” katanya.
Sebelum ini, pihak polis berjaya menumpaskan kumpulan jenayah terancang yang aktif melakukan kekerasan, pembunuhan dan samun dengan penahanan 17 orang menerusi Op Jack Sparrow.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata, kumpulan itu ditumpaskan menerusi beberapa siri serbuan dan tangkapan di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perak, pada 11 September lalu.
Katanya, 17 suspek berusia antara 19 hingga 44 tahun ditahan selepas dipercayai menjadi sebahagian daripada kira-kira 30 ahli kumpulan diketuai seorang lelaki tempatan yang aktif sejak 2023.
Menurutnya, tangkapan membabitkan dua kumpulan berbeza yang dipercayai mempunyai kaitan langsung dengan kegiatan jenayah itu. – UTUSAN








