Kes tiga ahli geng ‘Kapten Praba’ dipindahkan ke Mahkamah Tinggi

Kes tiga ahli geng ‘Kapten Praba’ dipindahkan ke Mahkamah Tinggi

TIGA ahli geng ‘Kapten Praba’ dikawal ketat oleh anggota polis ketika tiba di Mahkamah Sesyen Sepang semalam, sebelum kes mereka dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Perbicaraan kes membabitkan tiga ahli geng ‘Kapten Praba’ akan berlangsung di Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas permohonan pendakwaan dipersetujui oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Ahmad Fuad Othman selepas membenarkan permohonan memindahkan kes kerana berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tertuduh terdiri daripada C. Navindren Raj, 38; S. Pratifkumar, 30; dan S. Sridharan, 30.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Mahang, Kampung Sungai Jarom, Jenjarom, Kuala Langat antara Disember 2023 hingga 11 September 2025.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shafiq Hasim, V. Suloshani dan Lina Hanini Ismail.

Ketiga-tiga tertuduh sebelum ini ditahan pasukan keselamatan India di Lapangan Terbang Antarabangsa Chhatrapati Shivaji Maharaj (CSMIA), Mumbai selepas bertindak agresif sebaik tiba di negara itu.

Mereka sebelumnya diusir dari United Kingdom selepas pihak imigresen di Lapangan Terbang Manchester menolak kemasukan berikutan maklumat mengenai status mereka sebagai penjenayah berprofil tinggi.

Mengikut protokol antarabangsa, individu yang ditolak masuk dihantar semula ke lokasi terakhir berlepas, menyebabkan mereka terkandas di Mumbai sebelum ditahan pihak berkuasa.

Siasatan mendapati tindakan agresif itu dipercayai akibat tekanan hebat apabila menyedari bakal berdepan tindakan undang-undang di Malaysia.

Pada September tahun lalu, seramai 13 individu dipercayai ahli kumpulan sama ditahan dalam operasi bersepadu Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini