KOTA BHARU: Konsortium E-Mutiara Bhd. (E-Mutiara) menjelaskan harga tiket yang tinggi sepanjang musim perayaan bukan disebabkan oleh kenaikan sebaliknya pelaksanaan caj musim perayaan sebanyak 10 peratus yang dibenarkan kerajaan.
Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Bhd. (E-Mutiara), Che Ibrahim Che Ismail berkata, ia bukan kenaikan tambang tetap, sebaliknya mekanisme yang dibenarkan bagi memastikan syarikat pengangkutan terus mampu beroperasi sepanjang musim perayaan.
Menurutnya, pelaksanaan caj tersebut penting kerana kebanyakan operasi bas pada musim perayaan bersifat perjalanan sehala yang menyebabkan pengusaha menanggung kos tambahan.
“Ini bukan kenaikan tambang, tetapi caj musim perayaan yang dibenarkan kerajaan bagi membantu pengusaha menampung kos operasi.
“Kebiasaannya bas dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu penuh dengan penumpang, tetapi perjalanan pulang pula kosong atau mempunyai penumpang yang sangat sedikit,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Zakat E-Mutiara di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Che Ibrahim memberitahu, bagi laluan Kota Bharu–Kuala Lumpur, tambang bas ekonomi dijangka meningkat daripada sekitar RM40 hingga RM45 kepada kira-kira RM55 sempena musim perayaan.
Bagaimanapun katanya, bagi bas eksekutif kendalian E-Mutiara, syarikat itu mengekalkan tambang tidak melebihi RM80 walaupun terdapat pengusaha lain yang mungkin menaikkan harga lebih tinggi.
“Sebelum ini tambang bas eksekutif sekitar RM65 hingga RM70, namun bagi E-Mutiara kita tetapkan tidak lebih RM80 sahaja,” ujarnya. – UTUSAN











