SERANGAN Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran pada 28 Februari, lalu memulakan satu lagi siri peperangan baharu di Asia Barat.
Iran yang bertindak balas bukan sekadar menyerang kawasan-kawasan strategik di Israel tetapi turut menyasarkan pangkalan-pangkalan tentera AS di sekitar rantau tersebut.
Hal ini menyebabkan negara-negara lain secara tidak langsung turut terheret ke dalam kancah tempur yang semakin meruncing ini. Keadaan di kawasan yang disasarkan itu menjadi tidak tenteram dan suasana menjadi huru-hara setiap kali berlakunya serangan apatah lagi apabila peluru berpandu yang dilancarkan berjaya mengenai sasarannya.
Bagi negara-negara yang selama ini makmur, ramai kini hidup dalam kerisauan. Bayangkan ketakutan yang mereka alami setiap kali mendengar bunyi peluru berpandu yang melintasi kediaman mereka secara bertalu-talu menuju sasarannya.
Kehidupan harian mereka tiba-tiba berubah, orang ramai di nasihatkan agar lebih berhati-hati dan sentiasa mematuhi arahan. Mereka tidak lagi boleh bergerak bebas ke sana-sini seperti sebelumnya. Malah, sekolah juga tidak terkecuali dan tidak dapat berjalan seperti biasa.
Apakah perasaan kita tatkala melihat keadaan yang terpaksa dilalui mereka dalam keadaan genting di sana? Tidakkah juga terdetik rasa kesyukuran akan segala nikmat keamanan yang sedang kita nikmati pada hari ini?
Atau, adakah keadaan huru-hara itu yang kita dambakan? Jika tidak, kenapakah ada di antara kita yang sentiasa berusaha membakar dan menokok-tambah sesuatu isu bagi membangkitkan kemarahan serta mencetuskan perbalahan sesama sendiri?
Sesuatu isu amat mudah meledak apabila melibatkan soal agama dan kaum, iaitu dua perkara yang sangat sensitif kepada rakyat Malaysia. Contohnya, kes menghina agama seperti memijak al-Quran yang sudah semestinya membangkitkan rasa marah dalam diri seluruh umat Islam.
Oleh itu, isu-isu sebegini harus diselesaikan secara tuntas. Namun, pada masa sama, tindak balas kita mestilah berpadanan apa yang berlaku dan bukannya disensasikan dan diolah. Bagai menghela rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan terserak.
Dalam keadaan sebegini, amat malang sekali apabila ada yang mengambil kesempatan menangguk di air yang keruh bagi membakar emosi orang ramai dengan mengada-ngadakan dan menyebarkan pelbagai fitnah tanpa memikirkan akibatnya kepada kesejahteraan rakyat dan keamanan negara.

Kini, dengan kecanggihan teknologi buatan (AI), pelbagai gambar palsu dapat dijana dengan baik sehingga mudah memperdaya jika tidak berhati-hati. Dengan perasaan teruja, cepat pula kita menyebar fitnah bersama-sama beribu pengguna media sosial lain dengan berkongsi gambar dan berita palsu.
Sudah tentu setiap umat Islam akan marah terhadap perbuatan terkutuk itu tetapi kita tidak boleh memudaratkan lagi keadaan yang panas dengan berbuat sesuka hati dan menabur fitnah bagi mensensasikan cerita.
Namun, akibat terlalu ghairah dan bersemangat, kita mudah hilang pertimbangan dan senang menjadi mangsa kepada umpan berang, khasnya di media sosial.
Adakah kita bertanya kepada diri, betulkah tindakan yang akan diambil dan adakah ia bertepatan dengan syariat sebelum bertindak balas dalam hal sebegini?
Terdapat banyak kisah yang diriwayatkan dalam hadis mengajar kita supaya tidak bertindak balas secara melampau apabila menghadapi hinaan terhadap agama, termasuklah Allah dan Rasulullah.
Malah, terdapat hadis yang meriwayatkan tentang Rasulullah tidak berpuas hati setelah melihat Saidina Abu Bakar As-Siddiq hilang sabar dan membalas celaan orang dengan kata-kata yang serupa.
Abu Bakar bertanya jika baginda marah kepadanya, maka sabda baginda, ketika Abu Bakar masih sabar menghadapi cacian tersebut, seorang malaikat telah turun untuk mendustakan apa yang dicaci terhadapnya. Namun apabila Abu Bakar membalas cercaan itu, sebaliknya syaitan telah datang.
Inilah sebahagian daripada cabaran bagi menguji kesabaran dan keimanan kita, sama ada kita dapat menangani emosi atau tewas kepada godaan syaitan dan membiarkan perasaan marah membakar diri.
Apabila berlakunya kes memijak al-Quran baru-baru ini, ada di antara kita segera bertindak menyebarkan gambar al-Quran dipijak si pelaku, sambil menggesa orang ramai turut menularkan gambar tersebut dengan alasan kononnya supaya orang ramai tahu bahawa ada orang sedang menghina agama kita.
Mereka memetik kata-kata Hamka, “jika diam saat agamamu dihina, gantilah bajumu dengan kain kapan,” bagi menyokong tindakan mereka.
Padahal mereka lupa walau apa sekalipun alasannya, dengan menyebarkan gambar tersebut, kita turut membantu si pelaku menularkan gambar al-Quran dipijak dan dihina. Dengan berbuat demikian, kita sebenarnya menyumbang kepada perbuatan menghina Al-Quran.
Hakikatnya, apa yang berlaku ini bukan sekadar menguji kesabaran tetapi turut menguji sikap kita tatkala menerima sesuatu maklumat. Pada ketika kita menerima bertubi-tubi berita palsu berkenaan kes ini daripada pelbagai pihak, ramai yang berlumba-lumba menyebarluaskan apa sahaja berita yang mereka terima.
Bayangkan, hanya dua hari selepas kejadian tersebut, tular pula gambar yang menunjukkan si pelaku bersama peguamnya di mahkamah. Gambar tersebut disertakan dengan tulisan yang mengatakan si pelaku bebas daripada tuduhan setelah dibicarakan di mahkamah.
Sekali lagi media sosial menjadi wadah bagi meluahkan rasa marah berserta kata-kata kesat dan maki hamun. Ada juga yang turut membangkitkan sentimen kepolitikan mengatakan tingkah laku orang tersebut adalah disebabkan sesetengah pihak politik.
Inilah masalahnya apabila membiarkan media sosial mengawal pemikiran dan menerima bulat-bulat perkara yang dikongsikan tanpa berfikir panjang.
Walhal, jika gunakan daya akal, kita akan sedar yang proses siasatan, pendakwaan dan perbicaraan tidak dapat selesai dalam masa dua hari sahaja. Begitu mudahnya kita menerima dan memanjangkan fitnah.
Natijah daripada kejadian ini dan kejadian-kejadian serupa lampau menunjukkan kita sering terlalu ghairah tidak bertempat. Akhirnya, kita termakan umpan anasir-anasir yang sengaja ingin memecahbelahkan rakyat. Ikan terumpan boleh dimakan. Berang terumpan padahnya sakan. –UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










