GEORGE TOWN: Portfolio melibatkan tiga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Pulau Pinang distruktur semula susulan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik sebagai Exco baharu yang berkuat kuasa hari ini.
Istiadat pengurniaan surat cara pelantikan serta mengangkat sumpah jawatan, taat setia dan sumpah rahsia itu disempurnakan di hadapan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib, di Seri Mutiara, hari ini.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pelantikan tersebut turut melibatkan penstrukturan semula portfolio bagi memastikan pentadbiran kerajaan negeri terus berfungsi secara berkesan.
Katanya, menerusi penstrukturan itu, Choon Aik diberikan portfolio Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat.
“Goh Choon Aik diberi portfolio Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat. Ini adalah antara portfolio penting dalam keadaan ekonomi semasa yang mencabar,” katanya dalam sidang akhbar di Seri Mutiara, hari ini.
Kon Yeow berkata, portfolio perdagangan amat signifikan kerana peniaga kecil, sederhana dan besar kini berdepan pelbagai cabaran termasuk peningkatan kos sara hidup.
“Portfolio perdagangan adalah portfolio yang penting, di mana pada suasana ekonomi sekarang peniaga kecil, sederhana mahupun perdagangan besar menghadapi pelbagai cabaran termasuk kos sara hidup,” katanya.
Katanya, aspek perpaduan masyarakat juga perlu terus diperkukuhkan berikutan cabaran semasa di peringkat global dan tempatan yang boleh menjejaskan keharmonian kaum.
Pada masa sama, Kon Yeow berkata, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid mengekalkan portfolio Pembangunan Agama Islam, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, namun kini turut memegang portfolio Pembangunan Koperasi menggantikan portfolio Perpaduan Masyarakat.
Sementara itu, katanya, Exco dari Barisan Nasional (BN) Datuk Rashidi Zinol kini memegang portfolio Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan serta Keusahawanan selepas mengambil alih portfolio agroteknologi dan keterjaminan makanan daripada Exco sebelum ini iaitu Fahmi Zainol.
“Portfolio agroteknologi dan keterjaminan makanan juga amat penting walaupun Pulau Pinang merupakan negeri kecil kerana ia melibatkan ribuan pengusaha termasuk pesawah, penternak dan usahawan sektor makanan,” katanya.
Beliau berkata, semua Exco akan terus memikul tanggungjawab secara bersama dalam melaksanakan dasar serta program kerajaan negeri bagi menjayakan agenda Penang2030 demi kesejahteraan rakyat. – UTUSAN











