PETALING JAYA: Malaysia menyeru semua pihak supaya menurunkan ketegangan serta menghentikan serangan yang berisiko mencetuskan ketidakstabilan lebih luas melangkaui Asia Barat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu juga dibincangkan dalam perbualannya dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan.
Katanya, menerusi panggilan telefon itu beliau dan Erdogan saling bertukar pandangan mengenai perkembangan yang semakin meruncing di Asia Barat susulan siri serangan yang menggugat kestabilan rantau tersebut.
Beliau menegaskan pendekatan berteraskan dialog dan diplomasi mesti menjadi keutamaan.
“Menyentuh insiden pembunuhan beberapa pimpinan tertinggi Iran termasuk Almarhum Ali Khamenei, saya tegaskan bahawa peristiwa ini berisiko menjerumuskan Asia Barat ke dalam ketidaktentuan yang serius dan berpanjangan.
“Kami senada bahawa semua pihak perlu menunjukkan tahap kawalan diri dan kebijaksanaan tertinggi bagi mengelakkan keadaan daripada terus meruncing.
“Saya turut menyatakan penghargaan terhadap peranan Presiden Erdoğan yang sering tampil sebagai suara nurani bagi dunia Islam, termasuk usaha Turkiye memainkan peranan sebagai perantara antara Washington dan Tehran dalam membuka ruang dialog dan penyelesaian diplomatik,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar turut menyatakan solidariti terhadap Turkiye susulan kejadian peluru berpandu balistik yang menuju ke arah ruang udara negara itu selain menggambarkan betapa rapuhnya keselamatan rantau berkenaan ketika ini.
Menyentuh perkembangan isu Palestin, beliau turut menyatakan penghargaan terhadap Turkiye dan beberapa negara lain yang mengutuk keputusan Israel memperluas penempatan haram di Tebing Barat.
“Pendirian Malaysia jelas bahawa tindakan rejim Zionis itu adalah pencabulan undang-undang antarabangsa,” katanya. – UTUSAN











