GUA MUSANG: Laluan Gua Musang-Merapoh di jalan lencongan berhampiran Taman Wangi di sini, ditutup lapan hari sehingga 14 Mac ini bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penurapan.
Penutupan melibatkan kedua-dua arah dari persimpangan Taman Wangi hingga ke simpang Hospital Gua Musang itu adalah sebahagian daripada pelaksanaan Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) melibatkan Pakej 3B dan 3C yang sedang dijalankan di kawasan berkenaan.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Nik Badlihisham Nik Ismail berkata, pengguna jalan raya dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal sepanjang tempoh penutupan laluan tersebut.
“Sepanjang kerja-kerja penurapan dijalankan, pengguna perlu mematuhi papan tanda keselamatan serta arahan petugas di lokasi bagi memastikan kelancaran trafik.
“Laluan itu dijangka dibuka semula kepada semua kenderaan pada 14 Mac selepas kerja-kerja penurapan selesai,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Datuk Mohd. Syahbuddin Hashim berharap kerja-kerja penurapan jalan di laluan berkenaan dapat dilaksanakan dengan lancar mengikut jadual yang ditetapkan.
Katanya, laluan sementara itu dijangka menjadi tumpuan perantau yang pulang ke kampung bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba kurang dua minggu lagi.
“Saya berharap kerja-kerja penurapan itu dapat disiapkan mengikut jadual supaya laluan berkenaan lebih selesa dan selamat digunakan oleh orang ramai khususnya perantau yang pulang ke kampung menjelang Aidilfitri,” ujarnya.
Media sebelum ini sebelum ini melaporkan, isu jalan rosak dan kesesakan di LTU Pakej 3B dan 3C di Gua Musang diberi perhatian serius Kementerian Kerja Raya susulan aduan orang ramai sejak kebelakangan ini. – UTUSAN











