Anil kekal ADUN Kunak selepas petisyen dibatalkan

Anil kekal ADUN Kunak selepas petisyen dibatalkan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mahkamah Pilihan Raya Kinabalu membatalkan petisyen yang mencabar kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Anil Jeet Sandhu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kunak.

Keputusan itu diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Sibu, Amelati Parnell yang membenarkan bantahan awal yang dibangkitkan Anil selaku pihak responden berhubung petisyen yang difailkan oleh Md. Bustan Industan Lumantang.

Dalam keputusan tersebut, mahkamah memutuskan bahawa petisyen itu gagal mematuhi keperluan mandatori di bawah Peraturan 3(1) dan 3(2) Peraturan-Peraturan Petisyen Pilihan Raya 1954 yang mengawal tatacara pembentangan sesuatu Petisyen Pilihan Raya serta Peraturan 4 Peraturan-Peraturan yang sama.

Perkara itu yang mensyaratkan supaya petisyen memperincikan fakta-fakta material yang mencukupi bagi menyokong sesuatu cabaran pilihan raya.

Dalam penghakimannya, mahkamah bersetuju bahawa pematuhan terhadap peruntukan-peruntukan tersebut merupakan syarat asas untuk membolehkan bidang kuasa Mahkamah Pilihan Raya dipanggil.

Kegagalan untuk membentangkan petisyen dengan sempurna dan memperincikan fakta-fakta material yang mencukupi menjadikan petisyen tersebut cacat dari segi prosedur dan tidak mampan di sisi undang-undang.

Justeru ia wajar dibatalkan pada peringkat awal tanpa perlu diteruskan kepada perbicaraan penuh.

Sehubungan itu, Anil kekal sebagai wakil rakyat yang sah seperti yang telah diumum dan diwartakan sebelum ini.

Dalam keputusan tersebut, mahkamah turut memerintahkan pihak pempetisyen membayar kos sebanyak RM10,000 kepada empat responden.

Pempetisyen diwakili oleh Jay Dee Allen James daripada Tetuan Sazalye Donol, Muhammad & Co manakala responden pertama hingga ketiga diwakili oleh pegawai-pegawai daripada Jabatan Peguam Negara iaitu Nurul Atiqah Azizan, Anis Najwa Nazari, Khairun Neesha Raj Mohamed dan Mohammad Solehheen Mohammad Zaki.

Responden keempat, Anil diwakili oleh pasukan guaman yang diselaraskan oleh Mohd Reduan Aklee selaku penyelaras utama dan peguam terdiri daripada Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Nooraihan Mohammad serta Wong Chik Kien daripada Tetuan JPKERUAK.

Anil yang memperoleh 5,986 undi dalam saingan enam penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 29 November lalu, memenangi kerusi itu dengan majoriti 2,118 undi.

Beliau kemudian dilantik sebagai pembantu menteri pembangunan belia, sukan dan ekonomi kreatif pada 16 Disember lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×