KEMAMAN : Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun cedera di bahagian belakang sebelah kiri badan selepas dipercayai terkena peluru senapang angin yang dilepaskan jirannya, di Felda Seberang Tayor, di sini, semalam.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 3.45 petang ketika mangsa yang merupakan murid tahun empat di sebuah sekolah di daerah ini sedang bermain bersama abangnya di hadapan rumah mereka.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, semasa sedang leka bermain, mangsa tiba-tiba berasa sakit di bahagian belakang badan di bawah bahu kiri sejurus selepas mendengar bunyi meletup.
“Mangsa yang menangis kesakitan cuba ditenangkan ibu dan bapanya yang mendapati terdapat kesan kemerahan di belakang badan anak mereka.
“Bapa mangsa kemudian menemukan sebiji bebola besi berwarna perak di hadapan rumahnya dan mengesyaki bebola besi itu dijadikan peluru untuk senapang angin yang digunakan jiran depan rumahnya,” katanya hari ini,
Mohd. Razi berkata, berikutan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 58 tahun dan merupakan buruh ladang petang semalam sejurus selepas laporan dibuat bapa mangsa kira-kira pukul 5 petang.
Katanya, polis turut merampas dua laras senapang angin buatan sendiri masing-masing berukuran 123 dan 107 sentimeter serta sembilan biji bebola besi.
“Hasil soal siasatan awal, suspek mengaku melepaskan satu das tembakan ke arah rumah mangsa yang berada pada jarak 40 meter dari rumahnya, namun tidak menyangka tembakan itu terkena ke arah mangsa,” katanya.
Menurutnya, suspek mengaku salah satu senapang angin itu dibeli menerusi dalam talian tahun lalu manakala selaras lagi senjata itu direka sendiri suspek bagi tujuan menembak burung.
“Hasil pemeriksaan ujian air kencing terhadap suspek mendapati dia positif dadah jenis Morfin dan suspek mempunyai 10 rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.
“Mangsa dibawa ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan manakala suspek kini ditahan reman empat hari hingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN










