KONFLIK yang semakin memuncak antara Iran, Amerika Syarikat (AS) dan Israel bukan lagi sekadar perseteruan diplomatik atau perang bayangan melalui proksi.
Serangan ketenteraan yang berlaku secara terbuka, disusuli tindak balas peluru berpandu ke atas pangkalan tentera di rantau Teluk, meletakkan dunia dalam keadaan berjaga-jaga.
Laluan strategik seperti Selat Hormuz menjadi tumpuan memandangkan nadi utama laluan penghantaran minyak global.
Dalam konteks ekonomi dunia yang masih rapuh pasca pandemik dan tekanan inflasi, ketidaktentuan geopolitik ini menambah satu lagi lapisan risiko yang tidak boleh dipandang ringan.
Pasaran global bertindak balas secara hampir serta-merta. Harga minyak mentah Brent dan West Texas Intermediate (WTI) meningkat berikutan kebimbangan gangguan bekalan.
Penganalisis ekonomi memberi amaran sekiranya konflik berlarutan atau Iran bertindak menyekat Selat Hormuz, menyebabkan harga minyak melonjak sehingga mencecah paras yang memberi tekanan besar kepada ekonomi negara pengimport tenaga.
Malaysia sebagai pengeksport bersih minyak dan gas mungkin menikmati lebihan hasil dalam jangka pendek, namun hakikatnya struktur ekonomi negara yang terbuka menyebabkan kesan limpahan negatif tetap dirasai.
Kos logistik berkemungkinan meningkat, premium insurans perkapalan bertambah dan rantaian bekalan global berisiko terganggu.
Ringgit pula terdedah kepada turun naik berikutan keadaan tidak menentu, pelabur cenderung beralih kepada aset selamat seperti dolar Amerika dan emas.

ISU SUBSIDI
Dalam konteks Malaysia, persoalan subsidi bahan api dan kedudukan fiskal kerajaan menjadi lebih kompleks. Seandainya harga minyak melonjak tinggi dalam tempoh panjang, menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung beban subsidi yang lebih besar bagi melindungi pengguna. Ini menimbulkan dilema antara kestabilan sosial dan disiplin fiskal.
ASEAN juga tidak terkecuali. Singapura yang bergantung pada perdagangan maritim global terkesan jika laluan perkapalan terganggu.
Sementara Indonesia dan Thailand berhadapan tekanan kos tenaga yang memberi kesan kepada inflasi domestik.
Maka, konflik ini bukan isu jauh yang terasing daripada kepentingan rantau Asia Tenggara, sebaliknya mempunyai implikasi langsung terhadap keselamatan ekonomi dan kestabilan sosial.
Dari sudut undang-undang antarabangsa, tindakan ketenteraan yang berlaku ketika rundingan berkaitan isu nuklear sedang berjalan menimbulkan persoalan serius terhadap prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Selepas Perang Dunia Kedua, masyarakat antarabangsa bersepakat penggunaan kekerasan hendaklah dielakkan kecuali untuk mempertahankan diri. Prinsip menahan diri daripada ancaman terhadap integriti wilayah negara lain adalah asas kepada sistem antarabangsa moden.
Namun realiti geopolitik sering memperlihatkan jurang antara norma dan praktik. Kuasa besar cenderung mentafsir keselamatan nasional menurut kepentingan strategik sendiri, sementara negara lebih kecil menjadi medan persaingan pengaruh.
Dalam wacana falsafah politik Barat, pendekatan realisme yang dipelopor tokoh seperti Hans Morgenthau melihat politik antarabangsa sebagai gelanggang perebutan kuasa yang tidak terelak.
Negara bertindak demi kelangsungan dan kepentingan nasional, bukan atas dasar moral semata-mata. Sebaliknya, idealisme liberal yang berakar pada pemikiran Immanuel Kant menekankan pentingnya institusi antarabangsa dan undang-undang bagi menjamin keamanan kolektif.
Konflik Iran-AS-Israel memperlihatkan pertembungan antara ideal normatif dan realiti kuasa. Apabila diplomasi gagal atau tidak diberi ruang secukupnya, tindakan ketenteraan menjadi pilihan, walaupun risikonya meluas.
Dalam kerangka pemikiran Islam, al-Quran menggariskan prinsip asas dalam menghadapi konflik. Firman Allah dalam Surah al-Baqarah, ayat 190 menegaskan agar umat Islam memerangi pihak yang memerangi mereka, tetapi tidak melampaui batas.
Prinsip ini meletakkan had moral yang jelas, peperangan bukan alat untuk penindasan atau pembalasan dendam, sebaliknya sebagai langkah mempertahankan diri.
Surah al-Anfal, ayat 61 pula memerintahkan agar kecenderungan kepada perdamaian disambut dengan kesediaan yang sama.
Ini menunjukkan dalam tradisi Islam, keamanan adalah matlamat, manakala peperangan hanyalah keadaan luar biasa yang dibenarkan dalam kerangka tertentu.
Surah al-Ma’idah, ayat 8 mengingatkan agar kebencian terhadap sesuatu kaum tidak mendorong ketidakadilan.
Dalam suasana media sosial yang sarat dengan propaganda dan retorik emosi, peringatan ini relevan. Masyarakat Malaysia perlu menilai maklumat dengan kritis dan tidak terperangkap dalam naratif yang menyederhanakan konflik kompleks kepada hitam dan putih.
Prinsip keadilan dan kesederhanaan (wasatiyyah) harus menjadi pedoman. Islam tidak menolak hak mempertahankan diri, namun tidak menghalalkan kezaliman atas nama solidariti.
Dari sudut sejarah, Iran mempunyai pengalaman panjang campur tangan asing, termasuk peristiwa penggulingan pemerintahan terdahulu pada abad ke-20.
Revolusi Iran 1979 muncul dalam konteks penentangan terhadap eksploitasi dan dominasi luar. Maka, sebarang analisis terhadap situasi semasa perlu mengambil kira dimensi sejarah ini.
Pada masa sama, tidak dapat dinafikan wujud cabaran dalaman seperti isu tadbir urus dan tekanan ekonomi akibat sekatan.
Perubahan politik yang tulen harus lahir daripada kehendak rakyat sendiri, bukan dipaksakan melalui tekanan ketenteraan atau manipulasi geopolitik.
Kematian atau kehilangan pemimpin tertinggi Iran, menambah unsur ketidaktentuan.
Dalam sistem politik Iran, jawatan tersebut memegang kuasa besar dalam hal ketenteraan dan dasar luar.
Kekosongan kuasa ketika konflik berpotensi mencetuskan tindakan lebih agresif demi menunjukkan kekuatan dan kesatuan nasional.
Sejarah membuktikan fasa peralihan kepimpinan sering menjadi tempoh paling tidak stabil bagi sesebuah negara.
Bagi Malaysia dan ASEAN, pendekatan terbaik ialah memperkukuh dasar berkecuali aktif, mengutamakan diplomasi dan menyeru penyelesaian melalui rundingan.
Prinsip ZOPFAN yang pernah diangkat oleh ASEAN sebagai zon aman, bebas dan berkecuali wajar dihidupkan semula dalam wacana serantau.
Dalam masa sama, perancangan kontingensi ekonomi perlu diperkemas, termasuk kepelbagaian sumber tenaga, pengukuhan keselamatan makanan dan pengurusan fiskal berhemat.
Konflik ini mengajar dunia globalisasi saling berkait rapat. Satu percikan api di Asia Barat mampu menggegarkan pasaran di Kuala Lumpur dan ASEAN lainya. –UTUSAN
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Unit Pengajian Islam dan Falsafah, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia (UUM).










