PUTRAJAYA: Perwakilan Diplomatik Malaysia melaksana satu rangka kerja keutamaan (prioritisation framework) bagi memastikan kes-kes mendesak diberi perhatian segera mengambil kira skala situasi dan jumlah rakyat Malaysia yang ramai di rantau Asia Barat yang terjejas susulan konflik perang Iran dengan Amerika Syarikat (AS)-Israel.
Kementerian Luar berkata, keutamaan diberi secara aktif kepada individu yang mempunyai keperluan perubatan kritikal, tidak mempunyai tempat tinggal atau sumber kewangan, warga emas, keluarga yang mempunyai anak kecil, pelajar, serta mana-mana individu yang menghadapi kesulitan serius dan segera.
“Pendekatan berstruktur ini memastikan bantuan disalurkan terlebih dahulu kepada mereka yang berada dalam keadaan paling kritikal, sementara pasukan kami terus memberi sokongan dan panduan kepada semua rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Pihak kementerian mengambil maklum mengenai satu hantaran tular di media sosial yang mendakwa Perwakilan Diplomatik Malaysia di Emiriah Arab Bersatu (UAE) gagal memberi bantuan kepada seorang rakyat Malaysia yang terkandas di Dubai.
Katanya, kementerian memahami sepenuhnya kebimbangan dan tekanan dihadapi rakyat Malaysia susulan penutupan ruang udara dan pembatalan penerbangan secara mengejut, khususnya di hab transit global utama seperti Dubai.
Dianggarkan kira-kira 29,000 rakyat Malaysia berada di seluruh rantau Asia Barat ketika ini dengan di UAE sahaja terdapat sekitar 8,500 rakyat Malaysia, termasuk mereka yang bermastautin serta yang sedang transit atau terkandas akibat gangguan penerbangan, baru-baru ini.
Daripada jumlah itu, kira-kira 5,900 individu mendaftarkan keberadaan mereka secara rasmi dengan Perwakilan Malaysia.
Bagaimanapun katanya, angka terbabit dijangka berubah dari semasa ke semasa selaras pergerakan perjalanan dan pertambahan pendaftaran oleh rakyat Malaysia.
“Sejak tercetusnya krisis ini, Kedutaan Besar Malaysia di Abu Dhabi dan Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai telah beroperasi tanpa henti termasuk pada hujung minggu.
“Semua talian telefon rasmi, talian pegawai bertugas, serta saluran e-mel kekal aktif sepenuhnya. Dalam keadaan jumlah panggilan yang tinggi, pegawai telah berusaha menghubungi semula panggilan yang terlepas dan membuat susulan secara langsung, termasuk melalui aplikasi pesanan ringkas.
“Selain itu, Bilik Operasi kementerian di Putrajaya kekal diaktifkan sepenuhnya dan beroperasi 24 jam sehari bagi menyokong usaha penyelarasan serta menjawab pertanyaan orang awam,” katanya.
Kementerian berkata, amat menghargai kefahaman mereka bahawa keperluan segera mereka telah dipenuhi.
“Kesabaran anda membolehkan pegawai kami memberi tumpuan terlebih dahulu kepada kes-kes yang membabitkan keperluan mendesak atau mampu menyelamatkan nyawa.
“Kami juga memohon agar mereka yang berada dalam keadaan selamat, memberi sedikit ruang dan kesabaran sementara pegawai kami terus berusaha tanpa henti menguruskan situasi yang sedang berkembang pesat ini untuk semua rakyat Malaysia yang terjejas,” katanya.
Kementerian Luar juga menegaskan bantuan diberikan kepada semua rakyat Malaysia tanpa sebarang perbezaan.
“Keutamaan mutlak kami ialah keselamatan dan kebajikan setiap warganegara.
“Dalam suasana ketidaktentuan serantau, penyebaran maklumat yang tidak lengkap atau mengelirukan boleh secara tidak sengaja menjejaskan keyakinan awam serta menyukarkan usaha penyelarasan yang sedang dijalankan.
“Sehubungan itu, kami menggesa semua rakyat Malaysia supaya merujuk hanya kepada saluran rasmi kementerian dan terus berhubung secara langsung dengan Perwakilan Diplomatik Malaysia,” katanya.
Menurutnya, rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular digalakkan untuk terlebih dahulu menghubungi Perwakilan Diplomatik Malaysia yang terdekat melalui nombor telefon dan alamat e-mel rasmi yang telah disediakan.
Sekiranya bantuan lanjut diperlukan, Bilik Operasi kementerian di Putrajaya yang beroperasi 24 jam boleh dihubungi melalui talian +603-8887 4570 atau e-mel: [email protected].
“Pegawai-pegawai kami di rantau terjejas serta di ibu pejabat akan terus bertugas sepanjang masa bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia dalam tempoh mencabar ini,” katanya.-UTUSAN.










