Eda Ezrin sibuk berniaga colek sepanjang Ramadan

Eda Ezrin sibuk berniaga colek sepanjang Ramadan

EDA Ezrin (kanan) melayani pelanggan yang menikmati colek dijualnya di Pok Wie Raja Sup Jam Besar, Kota Bharu, Kelantan. – UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Penyanyi wanita dari Kelantan, Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 31, kini berniaga colek sepanjang Ramadan ini di Pok Wie Raja Sup Jam Besar, di sini.

Penyanyi yang sarat mengandung anak ketiga mula berniaga kudapan itu bersama suami, Mohd. Affendi Ahmad, 36, sejak hari ketiga umat Islam menjalani ibadat puasa.

Dalam masa sama, beliau akan melancarkan muzik video baharu berjudul Hati Luko Raya sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

Katanya, dia baru selesai menjalani penggambaran video muzik (MV) untuk single berke­naan yang merupakan olahan semula daripada lagu asalnya iaitu Hati Luko.

Katanya, MV tersebut dijang­ka dimuat naik di platform TikTok hari ini.

“Alhamdulillah, saya masih lagi berkesempatan menyediakan ‘buah tangan’ kepada peminat sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri menerusi lagi Hati Luko Raya.

“Ia adalah gubahan asal dari lagu Hati Luko yang liriknya ditukar supaya sesuai dengan sambutan Aidilfitri,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.

Penyanyi yang popular dengan lagu Bea Sobar Bea itu berkata, setakat ini dia belum menerima sebarang undangan persembahan sempena ketibaan Syawal.

“Sekiranya ada tawaran sekalipun, kemungkinan besar saya terpaksa menolak kerana dijangka bersalin Mac ini,” ujarnya.

Keutamaan kini tertumpu kepada persiapan menyambut kelahiran cahaya mata yang bakal menyerikan lagi Aidilfitri.

Pada 6 Ogos 2025, Eda Ezrin, suami bersama empat rakan dibebaskan sepenuhnya dari tahanan Penjara Pusat Wilayah Narathiwat, Thailand.

Pembebasan mereka dibuat selepas mahkamah menolak permohonan pendakwa raya untuk menyambung tempoh mengemukakan rayuan buat kali keenam.

Sebelum itu, Eda Ezrin dan suaminya, bersama Eridieka Mohd. Noor, 33, Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, dibebaskan daripada pertuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda oleh Mahkamah Narathiwat dan perlu kembali semula ke penjara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×