PUTRAJAYA: Kebanyakan rakyat Malaysia sudah pulang ke rumah masing-masing di Juffair, Bahrain walaupun lokasi itu berdekatan dengan pangkalan tentera laut Amerika Syarikat (AS) yang menjadi sasaran serangan.
Walaupun bunyi serangan semakin reda, Norhani Aida Mohd. Nor, 42, masih memilih menginap di hotel bagi memastikan keselamatan terjamin susulan perang antara Israel, AS dan Iran.
“Ketika ini serangan jarang-jarang kedengaran. Banyak yang sudah berjaya dipintas. Kawan-kawan rakyat Malaysia lain ada yang sudah balik ke rumah masing-masing di Juffair.
“Bagaimanapun, saya masih menginap di hotel. Anak-anak sudah memulakan kelas secara dalam talian manakala pejabat mula beroperasi secara hibrid,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Norhani Aida berkata, gedung beli-belah dan kedai-kedai juga sudah beroperasi seperti biasa dan fasiliti itu terletak bersebelahan hotel, sekali gus memudahkannya untuk membeli makanan dan keperluan lain.
Katanya, keadaan itu juga tidak memberi masalah kepada umat Islam menjalani ibadah puasa dengan sebaiknya.
“Kawan-kawan ada menganjurkan majlis buka puasa di rumahnya. Disebabkan saya tidak dapat hadir mereka menghantar juadah ke hotel kami. Alhamdulillah hubungan kami rapat di sini saling menjaga kebajikan masing-masing,” katanya.
Sebelum ini, Norhani Aida mendedahkan detik menakutkan apabila menyaksikan letupan di depan mata dengan jarak selang 13 minit setiap tempoh serangan.
Katanya, pihak Kedutaan Malaysia sentiasa berhubung rapat untuk perkembangan setiap rakyat yang berdaftar, khususnya mereka yang mendapatkan perlindungan selain dari rumah sendiri. – UTUSAN











