PARIT: Puasa kali ini suram buat Aziz Jaafar Yusof, 53, yang kehilangan empat anak sekali gus serta seorang menantu yang maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Jerantut-Maran di Jerantut, Pahang pada 7 Jun tahun lalu.
Aziz Jaafar kehilangan empat anaknya iaitu Nur Arfiqah, 23; Mohammad Zulkifli, 21; Mohamad Azizul Hakimi, 19, dan Nurul Hazwani,17, serta menantunya, Mohamad Ikmal Ishak, 26, iaitu suami kepada Nur Afiqah.
Menurutnya, tragedi yang menimpa ahli keluarganya itu masih dirasai apatah lagi ini pertama kali dia berpuasa tanpa anak-anak dan menantu yang sentiasa menceriakan dia dan isterinya, Zaini Noh, 53.
“Kejadian itu berlaku pada Jun, bermakna sudah sembilan atau 10 bulan berlalu namun kesedihan akibat kehilangan mereka tidak pernah hilang apatah lagi semasa bulan Ramadan.
“Ini kerana merekalah yang menceriakan suasana terutama semasa hendak berbuka puasa. Mereka menghubungi saya dan isteri bertanyakan apakah juadah berbuka. Dulu kami selalu berbuka puasa bersama-sama di luar.
“Namun semua itu sudah tiada. Hidup kami berubah terus sejak kehilangan empat anak sekali gus dan seorang menantu,” katanya ketika ditemui di Kampung Selat di Bota Kanan dekat sini.
Aziz Jaafar berkata, menjelang Aidilfitri menguatkan ingatan terhadap anak-anaknya kerana sepatutnya ketika Ramadan memasuki minggu kedua, mereka sekeluarga sudah sibuk membincangkan mengenai baju dan kuih raya.
“Seminggu sebelum raya, kami sudah bincang untuk jual lemang. Biasanya kami buat antara 700 hingga 800 batang lemang tapi kali ini tiada lagi jualan lemang.
“Biasanya ketika ini kami sedang mencari buluh lemang tapi sekarang saya tak ada hati nak berniaga lemang. Kalau buat pun hanya untuk makan sendiri sahaja. kalau masak lemang pasti teringatkan mereka,” katanya.
Menurutnya, untuk mengubat kerinduan, dia kerap menziarahi kubur anak-anak dan menantunya di Kampung Selat di sini.
“Biasanya saya akan ziarah kubur pada sebelah petang iaitu selepas balik kerja. Seminggu mungkin dua kali saya ziarah, dapat juga melepaskan rindu pada mereka,” katanya.-UTUSAN











