PETALING JAYA: Seorang doktor gigi kerugian RM15,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai polis dalam kejadian di Taman Sri Hartamas dekat sini pada 28 November tahun lalu.
Mangsa berusia 34 tahun pada mulanya menerima panggilan daripada nombor tidak dikenali kira-kira pukul 11 pagi ketika berada di rumahnya.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, individu yang menghubungi mangsa telah memperkenalkan diri sebagai ‘Sarjan Remi’ dan mendakwa mangsa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.
Katanya, Panggilan itu kemudian disusuli seorang lagi individu yang memperkenalkan diri sebagai ‘Inspektor Zulkifli’ dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar.
“Selepas itu, mangsa sekali lagi menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai Asisten Komisioner Polis, Datuk Razman Muhamad Zaki dari IPD sama dan mengarahkan mangsa membuat bayaran bagi tujuan penyelesaian kes.
“Akibat percaya dengan dakwaan tersebut, mangsa membuat dua transaksi pindahan wang membabitkan RM10,000 ke akaun Hong Leong Bank atas nama Trissha Chamenda Luciana Lucindy dan RM5,000 ke akaun Touch ‘n Go eWallet atas nama Rodyi Anak Ladi.
“Mangsa hanya menyedari ditipu selepas memaklumkan perkara itu kepada ibunya sebelum tampil membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati dengan tindakan suspek yang menyamar sebagai pegawai polis,” katanya di sini hari ini.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa turut diarahkan membuat laporan diri setiap hari menerusi aplikasi WhatsApp serta memberikan butiran peribadi kononnya bagi tujuan pengesahan.
Selain, suspek juga turut mengugut akan mengeluarkan waran tangkap sekiranya mangsa gagal berbuat demikian.
“Semakan mendapati kedua-dua akaun penerima wang berkenaan mempunyai rekod kes penipuan lain iaitu di Gambang dan Permas Jaya.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” ujarnya. – UTUSAN











