PETALING JAYA: Empat ketua bahagian yang memegang jawatan kanan dalam Badan Pimpinan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Wilayah Persekutuan mengumumkan peletakan jawatan mereka, berkuat kuasa hari ini.
Bekas Ketua Bahagian Bersatu Lembah Pantai, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin, berkata beliau mendapat maklumat peletakan jawatan itu daripada pemimpin berkenaan melalui WhatsApp.
Katanya, peletakan jawatan membabitkan Timbalan Ketua BPN Bersatu Wilayah Persekutuan, yang dipegang Ketua Bahagian Seputeh; Setiausaha Negeri (Ketua Bahagian Segambut); Ketua Penerangan Negeri (Ketua Bahagian Bukit Bintang) dan Bendahari Negeri (Ketua Bahagian Titiwangsa).
“Sebelum ini, tiga ketua bahagian Bersatu Wilayah Persekutuan iaitu Lembah Pantai, Kepong dan Cheras sudah pun meletakkan jawatan di bahagian masing-masing serta keluar daripada parti pada bulan lalu.
“Hari ini pula, empat ketua bahagian yang memegang jawatan dalam kepemimpinan G5 BPN Wilayah Persekutuan, mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan dalam BPN yang diterajui Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Muhamad Muqharabbin berkata, perkembangan itu berlaku ketika keadaan struktur organisasi parti di Wilayah Persekutuan sedang berdepan beberapa isu dalaman, antaranya di Labuan dan Bandar Tun Razak, selain Armada negeri yang masih belum bersidang dan sayap Bersekutu Bersatu negeri yang sudah dibubarkan.
Katanya, perkembangan itu dilihat sebagai satu tamparan hebat kepada kepemimpinan BPN Wilayah Persekutuan yang diterajui Radzi yang baru dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Melaka. – UTUSAN










