BESUT: “Ramadan kali ini seolah-olah kosong, tiada lagi alunan bacaan al-Quran Abang setiap pagi.”
Demikian luah Ruslinan Abd. Razak iaitu ibu kepada Muhammad Adib Hazim Halim, penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam nahas di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Jeli-Gerik, Perak, Jun tahun lalu.
Ruslinan, 56, berkata, menjadi rutin Allahyarham yang mesra dipanggil Abang dalam kalangan ahli keluarganya mengaji setiap pagi dan menamatkan 30 juzuk al-Quran sepanjang Ramadan.
Katanya, Allahyarham Muhammad Adib Hazim adalah anak yang taat dengan perintah Allah SWT dan seorang hafiz al-Quran.
“Boleh dikatakan surah al-Fatihah dan al-Mulk adalah surah ‘wajib’ yang meniti di bibirnya. Tiada lagi kedengaran bacaan al-Quran yang biasa dilakukannya selepas subuh atau sebelum memulakan rutin hariannya yang lain,” katanya sebak ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Pasir Badak, Hulu Besut di sini.
Ruslinan berkata, keperibadian anak keenamnya itu menjadi sebutan dalam kalangan rakan-rakan mahupun kenalan rapat yang mana tutur katanya yang lembut dan permintaan maaf sentiasa diucapkan tanpa mengira sesiapa.
Katanya, kehilangan Muhammad Adib Hazim sangat dirasai keluarganya terutama anak bongsunya Muhammad Haziq Hazmi Halim, 19, yang rapat dengan arwah.
“Anak bongsu saya menyimpan gambar arwah di dalam dompetnya. Sebelum ini mereka berdua sering bersama-sama ke mana-mana sahaja.
“Sehingga hari ini, adiknya tidak membenarkan pakaian atau barangan peribadi arwah diagihkan kepada orang lain kerana mahu menyimpan dan menggunakannya. Dengan itu, dia dapat dapat merasakan keberadaan arwah meskipun telah tiada,” katanya.
Pada 9 Jun 2025, seramai 15 penuntut UPSI maut apabila bas yang dalam perjalanan pulang ke kampus Tanjung Malim dari Jerteh, Terengganu terbalik berhampiran Tasik Banding, selepas berlanggar dengan sebuah kenderaan Perodua Alza. –UTUSAN










