PETALING JAYA: Rakyat Malaysia dinasihat agar menangguhkan perjalanan tidak penting ke Iran, Iraq, Jordan, Kuwait, Qatar, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Wisma Putra dalam kenyataan berkata, nasihat perjalanan rasmi dikeluarkan Kementerian Luar Negeri masih berkuat kuasa sehingga diberitahu kelak.
Selain itu Wismwa Putra berkata, pihaknya akan terus memantau dengan teliti ketidaktentuan situasi keselamatan dan perjalanan di seluruh Asia Barat serta terus berkoordinasi rapat dengan perwakilan diplomatik Malaysia di wilayah terjejas.
“Keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia tetap menjadi keutamaan kementerian,” katanya hari ini.
Menurut Wisma Putra, ia mengambil maklum pengumuman pihak berkuasa UAE mengenai pembukaan ruang udara selamat yang ditetapkan serta perkhidmatan pergi dan balik sementara Malaysia Aviation Group (MAG) ke dan dari Jeddah serta Madinah, Arab Saudi pada 4 hingga 8 Mac.
Pasukan misi diplomatik Malaysia kekal berhubung rapat dengan pihak berkuasa dan rakan kongsi operasi berkaitan untuk membantu rakyat Malaysia terjejas akibat gangguan perjalanan berterusan.
Di UAE, Kedutaan Malaysia di Abu Dhabi dan Konsulat Jeneral di Dubai terus berhubung dengan rakyat Malaysia terkesan akibat gangguan penerbangan, terutamanya mereka yang menunggu perjalanan seterusnya.
“Susulan pengumuman mengenai ruang udara selamat, pasukan kami sedang berhubung dengan pihak berkuasa berkaitan dan pihak berkepentingan operasi untuk mendapatkan penjelasan tentang butiran pelaksanaannya dan memudah cara aturan perjalanan seterusnya mengikut syarat ditetapkan.
“Pegawai (kementerian) terus meneliti kebajikan dan keperluan warga terlibat, dengan keutamaan pada mereka yang terpaksa melanjutkan transit atau berdepan masalah penginapan.”ujarnya. – UTUSAN











