GEORGE TOWN: Kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Fahmi Zainol sebagai Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang berakhir serta-merta hari ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, keputusan tersebut dibuat selepas kerajaan negeri menerima surat daripada PKR menerusi Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr. Fuziah Salleh semalam yang mencadangkan penggantian bagi jawatan berkenaan.
“Saya ingin memaklumkan bahawa perkhidmatan Fahmi sebagai Exco negeri telah tamat pada hari ini. Saya telah bertemu dengan beliau (Fahmi) pagi tadi dan beliau menerima keputusan ini,” katanya dalam sidang akhbar, di sini.
Fahmi sebelum ini didakwa di Mahkamah Majistret Balik Pulau atas tuduhan dengan sengaja mencederakan isterinya dalam satu kejadian pada 22 Februari.
Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibaca oleh jurubahasa dihadapan Majistret Chia Huey Ting.
Menurut Kon Yeow, cadangan nama pengganti Fahmi akan dikemukakan kepada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib untuk mendapatkan perkenan sebelum pengumuman rasmi dibuat.
“Saya akan kemukakan cadangan penggantian kepada Yang Dipertua Negeri pada petang ini untuk perkenan.
“Setelah dapat perkenan berkenaan petang ini, pejabat saya akan keluarkan kenyataan untuk mengumumkan penggantian Exco untuk mengisi kekosongan yang timbul atas tamatnya perkhidmatan Fahmi,” katanya.
Kon Yeow berkata, pengganti tersebut dijangka daripada parti yang sama iaitu PKR memandangkan Fahmi mewakili parti itu dalam kerajaan negeri.
“Sebarang perubahan portfolio Exco hanya akan diumumkan selepas majlis mengangkat sumpah. Saya akan umumkan sekiranya ada pindaan portfolio pada hari Exco baharu angkat sumpah, iaitu minggu ini juga,” katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada kerajaan negeri akan mengambil tindakan sama terhadap Timbalan Ketua Menteri, Datuk Mohamad Abdul Hamid yang kini disiasat Suruhanjaya Perkhidmatan Rasuah Malaysia (SPRM), Kon Yeow berkata, tindakan menamatkan perkhidmatan Fahmi sebagai Exco berbeza dengan kes lain kerana pihaknya menerima permintaan rasmi daripada parti untuk melakukan penggantian.
“Dalam kes ini ada surat daripada parti PKR yang minta penggantian, itu bezanya,” katanya. – UTUSAN










