KATA sudah dikota. Tidak ada istilah berpatah arah manakala pintu toleransi sudah ditutup rapat. Radar siap dipasang. Risik sudah digerakkan.
Atas komitmen itu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, menzahirkan titah yang paling tegas, tajam dan mendalam dengan amaran jelas untuk memerangi rasuah di semua jabatan serta agensi kerajaan. Baginda tidak lagi sekadar mengingatkan. Baginda memberi isyarat tindakan akan menyusul.
Titah pada 16 Februari lalu berkenaan rasuah serta ancaman dan kesannya bukanlah yang pertama. Sebelum itu, baginda meluahkan rasa kecewa terhadap kes rasuah dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang melibatkan peringkat tertinggi. Kekecewaan itu bukan retorik. Baginda menunjukkan kesungguhan untuk memburu gejala ini hingga ke akar umbi.
Komitmen Sultan Ibrahim untuk memerangi rasuah sudah dizahirkan sejak sebelum baginda ditabalkan dan bersemayam sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 di Istana Negara pada 2024.
Dalam Titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen Ke-15 pada 19 Januari lalu, baginda menegaskan, “… dan nampaknya saya telah berjaya jumpa.”
Kenyataan itu membawa maksud jelas yang mana pemburuan sudah bermula dan hasilnya sudah kelihatan.
Terkini, amaran lebih ramai berada dalam pemerhatian baginda membuktikan usaha ini bukan sekadar titah moral. Baginda mahu membuktikan apa yang ditegaskan dan dijanjikan kini benar-benar dikotakan.
Fokus tidak hanya tertumpu kepada segelintir individu atau jabatan tertentu. Lensa pengawasan diperluas kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM). Namun jabatan dan agensi lain juga tidak terkecuali.
Baginda menggunakan perumpamaan mudah tetapi tajam seperti siapa makan cili, dia terasa pedas. Amaran ini turut merangkumi ejen orang tengah, pembekal peralatan, pakaian dan perubatan yang bersekongkol dalam jaringan rasuah. Tiada lagi ruang untuk berselindung di sebalik struktur atau hubungan.
Rakyat menyambut baik ketegasan ini. Mereka melihat komitmen Yang di-Pertuan Agong sebagai nafas baharu dalam perjuangan membanteras rasuah yang semakin sistemik dan berani mencabar undang-undang. Titah baginda bukan sekadar peringatan. Titah itu ialah isyarat keras tiada siapa yang kebal.
Pesan baginda sangat serius. Kita perlu menafsirnya secara cerdas dan menyeluruh. Kita mesti memahami mesej itu dari perspektif yang lebih luas, kemudian menyusunnya menjadi naratif tindakan yang konkrit. Kita tidak boleh lagi bertindak secara reaktif. Kita perlu merancang strategi yang mampu mendahului kelicikan pelaku rasuah yang sering beberapa langkah di hadapan.
Membanteras kelompok rasuah terancang yang berlindung di bawah payung kartel bukan tugas mudah. Mereka menggunakan jaringan kerja, hubungan dalaman dan struktur kompleks untuk melindungi kepentingan sendiri. Oleh itu, kita mesti bertindak secara berani, inklusif, kolektif, konsisten dan sistematik.
Kita perlu menggunakan kaedah yang lebih cekap dan mampu melumpuhkan keseluruhan rangkaian, bukan sekadar menangkap individu bawahan.
Data kerugian negara membuktikan betapa seriusnya jenayah ini. Laporan akhbar pada 19 Mei 2025 menyatakan Malaysia merekodkan kerugian RM277 bilion akibat rasuah bagi tempoh 2018 hingga 2023 berdasarkan anggaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Kajian EMIR Research pada 2023 pula menganggarkan kerugian sehingga RM4.5 trilion bagi tempoh 1997 hingga 2022. Angka-angka ini bukan sekadar statistik. Angka ini mewakili peluang yang hilang, sekolah yang tidak dibina, hospital yang tidak dilengkapkan dan kesejahteraan rakyat yang terjejas.
Justeru, sudah tiba masanya kita melakukan audit menyeluruh terhadap jenayah ini.

dan agensi kerajaan, termasuk di peringkat tertinggi. – JABATAN PENERANGAN
JAWATANKUASA KHAS
Kita boleh mempertimbangkan penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet bagi mengkaji isu, langkah pemerkasaan dan strategi memerangi rasuah. Jawatankuasa ini perlu menyemak dan menutup segala kelompongan dalam ekosistem yang sering dimanipulasi.
Kerajaan juga perlu menyemak semula penyelarasan antara agensi, jabatan dan kementerian. Kita mesti menghapuskan pertindihan fungsi dan memperjelas zon kelabu yang membuka ruang manipulasi. Dengan penyelarasan yang baik, kita boleh menyatukan sumber, kepakaran, tenaga dan risikan untuk bertindak secara lebih berkesan.
Pada masa sama, kita perlu mereformasi undang-undang dan dasar sedia ada. Kita boleh mempertimbangkan hukuman lebih berat terhadap pesalah rasuah serta memperkukuh perlindungan pemberi maklumat.
Jika gejala ini sudah melibatkan peringkat tertinggi, kita mesti menubuhkan pasukan pemantauan khas yang bertindak secara luar biasa terhadap kartel rasuah dan struktur mereka.
Jawatankuasa Kabinet yang dicadangkan itu mesti bertanggungjawab kepada Parlimen dan rakyat. Ia perlu membentangkan laporan berkala secara terbuka. Ketelusan akan meningkatkan keyakinan awam dan menutup ruang persepsi negatif.
Secara asasnya, perjuangan ini mesti berteraskan tiga perkara iaitu pencegahan, penguatkuasaan dan perubahan budaya.
Jika kita hanya menumpukan tangkapan dan hukuman, maka rasuah akan muncul semula dalam bentuk lebih licik. Kita mesti menutup ruang manipulasi, menanam kesedaran dan mengubah set minda masyarakat. Kita perlu melaksanakan pemantauan konsisten supaya ekosistem dapat dibersihkan secara berperingkat.
Kita juga boleh memperluas audit integriti dengan melibatkan pihak ketiga seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), profesional dan wakil masyarakat sebagai pemantau.
Pendigitalan tadbir urus mampu mengurangkan ketirisan dan meningkatkan ketelusan. Dalam masa sama, kita boleh menilai keberkesanan pusingan kerja dalam perkhidmatan awam bagi mengurangkan penyalahgunaan kuasa.
Usaha ini perlu diperluas ke sektor swasta, perbankan, sukan, NGO dan institusi keagamaan. Kita boleh mewujudkan peruntukan undang-undang yang mewajibkan perisytiharan pemilikan kekayaan luar biasa dalam kalangan pengurusan kanan.
Kerajaan juga mesti mempertahankan dan memperkukuhkan SPRM serta badan penguatkuasa lain daripada persepsi liar yang melemahkan. Kita perlu menjelaskan kepada rakyat mekanisme semak dan imbang yang wujud. Malah, kita boleh mempertimbangkan penubuhan mahkamah khas rasuah bagi mempercepat perbicaraan kes berprofil tinggi.
Akhirnya, kita mesti mereformasi budaya. Kita perlu memasukkan pendidikan integriti secara berstruktur dalam sistem pendidikan negara. Kita mesti mengajar modul antirasuah dari sekolah hingga universiti dan mewajibkan latihan berkala kepada penjawat awam serta sektor swasta.
Kempen nasional juga perlu digerakkan secara menyeluruh.
Semua tindakan ini akan membuktikan institusi tertinggi negara dan rakyat tidak berkompromi dalam soal integriti. Kini persoalannya bukan lagi sama ada kita mahu memerangi rasuah tetapi sejauh mana kita sanggup berubah untuk mematikannya. –UTUSAN
Penulis adalah pengamal media dan penulis politik bebas.










