PETALING JAYA: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi amaran akan melakukan serangan darat ke atas Iran ekoran negara itu terus bertindak balas terhadap serangan mereka dan sekutunya Israel.
Malah Trump juga mengugut akan mendatangkan kerosakan lebih serius ke atas negara Islam itu dan perang bakal berlanjutan lebih daripada sebulan.
Katanya, beliau tidak teragak-agak untuk membenarkan anggota tentera AS memasuki Iran jika ia perlu dan tidak peduli mengenai kemungkinan kesan politik ekoran daripada tindakan tersebut.
Menurutnya, serangan ‘Operasi Epic Fury’ yang dilancarkannya pada Sabtu lalu itu juga berlaku lebih awal daripada yang dijadualkan.
Operasi itu telah membunuh puluhan pegawai tinggi tentera termasuk pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei bersama beberapa ahli keluarganya.
“Saya tidak gentar mengenai penempatan tentera darat seperti setiap presiden berkata bahawa tiada tentera darat akan dihantar. Saya tidak menyatakan begitu,” kata Trump dalam wawancara bersama akhbar New York Post yang disiarkan kelmarin.
Serangan AS bersama Israel itu bertujuan untuk melumpuhkan kepimpinan tentera dan politik Iran tetapi kini ia semakin merebak apabila Iran melancarkan serangan balas ke atas kepentingan AS di beberapa negara Arab.
Dalam temu bual berasingan dengan agensi berita CNN,Trump memberi isyarat bahawa tindakan ketenteraan yang lebih besar ke atas Iran masih belum dimulakan sepenuhnya.
Beliau berkata, serangan setakat ini hanyalah permulaan dan gelombang besar masih belum berlaku dan ia akan berlaku tidak lama lagi menunjukkan kemungkinan peningkatan operasi ketenteraan pada masa depan.
Katanya, keputusan muktamad untuk melancarkan serangan selepas rundingan terakhir pada Khamis lalu di Geneva, Switzerland sebahagiannya disebabkan maklumat risikan bahawa Iran secara rahsia meneruskan kerja-kerja ke atas projek nuklear.
“Kami telah mengadakan rundingan yang sangat serius, dan mereka hadir, kemudian mereka (Iran) menarik diri. Mereka selalu akan menarik diri,” katanya.
Trump turut memberitahu, AS bersedia untuk konflik yang berpanjangan kesan serangan itu.
“Sejak awal, kami menjangkakan empat hingga lima minggu tetapi kami mempunyai keupayaan untuk meneruskan jauh lebih lama daripada itu,” katanya.
Presiden AS itu berkata, objektif operasi adalah untuk memusnahkan peluru berpandu Iran, angkatan laut dan program nuklearnya serta menghentikan sokongan Iran terhadap kumpulan bersenjata di seluruh rantau itu.
Objektif itu tidak termasuk menjatuhkan republik Islam, walaupun pada Sabtu lalu Trump menggesa rakyat Iran untuk bangkit dan menumbangkan kerajaan mereka.
Perang yang memasuki hari keempat itu telah menyebabkan harga minyak terus meningkat manakala nilai dolar dan pasaran saham jatuh kerana pelabur memantau perang yang semakin meluas di Asia Barat.
Serangan AS dan Israel ke atas republik Islam itu juga telah mengganggu aliran tenaga serantau dengan Selat Hormuz, laluan penting yang dilalui kira-kira satu per lima minyak dunia secara berkesan ditutup oleh Iran.
Perang itu juga menimbulkan kebimbangan mengenai krisis tenaga baharu yang berpotensi meningkatkan inflasi global.-UTUSAN.










