KUALA LUMPUR: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang di sini hari ini atas tuduhan menyebabkan kematian abangnya, Disember tahun lalu.
Tertuduh, M. Kubendran, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Nor Azlin Othman.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat menyebabkan kecederaan tubuh yang mungkin menyebabkan kematian M. Kagendran, 36, di kediaman mangsa di Selayang Baru, Batu Caves, di sini, pada pukul 3.40 pagi, 2 Disember 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana ia adalah kesalahan yang tidak boleh dijamin.
“Pihak pendakwaan kekal dengan pendirian tidak mencadangkan sebarang jumlah jaminan kerana tiada alasan keadaan istimewa yang membolehkan tertuduh diikat jamin. Tambah pula, ini adalah kes berat,” katanya.
Peguam bela Kisho Kumar bagaimanapun memohon jaminan dibenarkan dengan mengambil kira anak guamnya adalah penanggung tunggal keluarga yang perlu menyara isteri, tiga anak dan ibu bapanya.
“Sekiranya jaminan dibenarkan, isterinya bersedia menjadi penjamin dan kami menyerahkan kepada mahkamah untuk menetapkan sebarang jumlah jaminan,” katanya.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran dan tidak mengganggu saksi sehingga kes selesai.
Tarikh 4 Mei ini ditetapkan bagi sebutan semula kes.
Sebelum ini, media melaporkan pergaduhan adik-beradik bertukar tragedi apabila seorang lelaki maut dipercayai dibunuh adik kandungnya di kediaman mangsa sebelum dikejarkan ke hospital dan disahkan meninggal dunia pada hari sama.-UTUSAN











