KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak bantahan awal oleh dua cucu perempuan pengasas Kumpulan Genting, Tan Sri Lim Goh Tong bagi membatalkan sebahagian keterangan peguam yang terlibat dalam penyediaan wasiat ibu mereka, Lim Siew Kim, 73, membabitkan harta pusaka bernilai lebih RM1.6 bilion.
Hakim Mahazan Mat Taib memutuskan bahawa keterangan defendan keempat, Datuk Low Beng Choo iaitu seorang peguam bukan keterangan dengar cakap berdasarkan Seksyen 60 Akta Keterangan 1950.
Bagaimanapun, beliau menegaskan keputusan itu hanya menyentuh soal kebolehterimaan keterangan dan bukan bermaksud mahkamah menerima kebenarannya atau membuat dapatan muktamad terhadap merit kes.
Hakim Mahazan berkata, peraturan keterangan dengar cakap tidak berfungsi untuk mengecualikan keterangan mengenai niat wasiat diberikan oleh peguam yang menerima arahan tersebut dan bertindak atasnya.
Kebolehterimaan keterangan sedemikian berasaskan kedua-duanya, iaitu Seksyen 60 Akta Keterangan 1950 serta struktur pembuktian dalam litigasi probet.
“Sebarang dakwaan pihak ketiga yang benar-benar boleh dipertikaikan boleh ditangani secara khusus dan mengikut konteks. Walau bagaimanapun, sebahagian besar keterangan yang dipertikaikan tidak sepatutnya dikecualikan pada tahap ini,” katanya.
Mahkamah turut memerintahkan Chan T’shiao Li, 48, dan Kimberley Chan Tshiao Miin, 45, membayar kos RM20,000 dan kes ditetapkan untuk sambung bicara pada 20 April ini.
Siew Kim, 73, yang merupakan anak kepada taikun Kumpulan Genting meninggal dunia akibat kanser pada Julai 2022 dan meninggalkan tiga anak perempuan dan seorang anak lelaki.
Pertikaian timbul apabila kedua-dua plaintif mendakwa wasiat ketiga bertarikh 28 April 2022 yang ditandatangani ibu mereka, Siew Kim tidak sah kerana didakwa dibuat ketika mendiang tidak mempunyai keupayaan undang-undang dan mental mencukupi.
Mereka juga mendakwa wujud dua wasiat lain bertarikh 2 November 2021 dan 11 April 2022 sebelum wasiat ketiga tersebut, selain mempersoalkan tempoh singkat penyediaannya yang didakwa mencurigakan.
Berdasarkan wasiat ketiga itu, Yayasan Dikim yang diasaskan Siew Kim dan mendiang suaminya menjadi benefisiari utama dengan menerima lebih 70 peratus baki harta pusaka, termasuk hartanah di Pearl Hill, Tanjung Bungah serta pegangan saham dan hartanah dalam Suria Waras Development Sdn. Bhd.
Kes turut menamakan dua peguam, Malcolm Fernandes dan Chan Mei Yee serta adik lelaki plaintif, Marcus Chan Jau Chwen sebagai defendan.-UTUSAN











