Saksikan fenomena bulan berdarah petang ini

Saksikan fenomena bulan berdarah petang ini

Gerhana bulan fasa separa (U1) bermula pada jam 5.50 petang dan seterusnya memasuki fasa penuh (U2) pada 7.04 petang dengan kemuncak gerhana (GE) pada 7.33 malam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rakyat Malaysia khususnya di Sabah dan Sarawak berpeluang menyaksikan fenomena ‘bulan berdarah’ berikutan gerhana bulan penuh yang akan berlaku petang ini.

Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) berkata, fenomena itu hanya berlaku sekali tahun dan gerhana bulan seterusnya dijangka berlaku pada 31 Disember 2028.

“Gerhana bulan fasa separa (U1) bermula pada jam 5.50 petang dan seterusnya memasuki fasa penuh (U2) pada 7.04 petang dengan kemuncak gerhana (GE) pada 7.33 malam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Fasa penuh akan tamat jam 8.02 malam dan memasuki fasa separa (U3) kembali sehingga jam 9 malam,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook, hari ini.

Gerhana bulan berlaku apabila bumi berada antara matahari dan bulan sehingga bayang-bayang bumi menutupi permukaan bulan menyebabkan satelit semula jadi itu kelihatan kemerahan.

MYSA berkata, tempoh keseluruhan gerhana mengambil masa 5 jam 39 minit, manakala fasa penuh berlangsung hampir 58 minit.

“Bagi kebanyakan negeri di Semenanjung, bulan akan terbit dalam fasa penuh dan berkemungkinan sukar dilihat dengan keadaan langit senja yang masih agak terang.

“Bagi Kuala Lumpur, ketinggian bulan akan berada pada dua darjah dari ufuk Timur pada ketika kemuncak gerhana.

“Sabah dan Sarawak mempunyai peluang lebih tinggi untuk mencerap fenomena gerhana ini kerana bulan terbit lebih awal maka ia berada pada sudut lebih tinggi,” katanya.

Fenomena gerhana penuh kali ini boleh disaksikan di Asia Timur, Australia, Lautan Pasifik, Amerika Utara dan Amerika Tengah.

“Di Asia Tengah dan sebahagian besar Amerika Selatan, hanya terjadi Gerhana Bulan Separa.

“Gerhana bulan boleh dilihat dengan mata kasar (bergantung kepada keadaan cuaca). Bagaimanapun, penggunaan binokular atau teleskop akan membantu untuk melihat fenomena ini dengan lebih jelas,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini