KUALA LUMPUR: Kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap platform media sosial bagi membanteras kandungan deepfake iaitu kandungan yang dimanipulasi menggunakan kecerdasan buatan (AI).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kementeriannya dalam proses mengambil beberapa tindakan melalui instrumen subsidiari di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) dan tindakan perundangan terhadap platform media.
Beliau berkata, masalah kandungan deepfake yang berleluasa kebanyakannya dibantu oleh platform media sosial.
“Berdasarkan siasatan kami setakat ini, kandungan ini disebarkan tanpa sebarang teks, kebiasaannya bermaksud ia diletak sebagai iklan dan iklan ini dibayar scammer kepada platform untuk memangsakan rakyat Malaysia,” katanya di Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Tiew Way Keng mengenai status pelaksanaan pendekatan pelesenan dan kebertanggungjawaban platform besar dan bagaimana perlindungan kanak-kanak dan keluarga dipastikan.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, usaha yang telah dan sedang dijalankan termasuk tindakan penguatkuasaan selaras peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan Akta 866.
Jelasnya, ia membolehkan keselamatan dalam talian bagi kanak-kanak, keluarga, dan golongan rentan dapat diperkukuh serta direalisasikan.
“Kerajaan menyedari kebimbangan terhadap penyalahgunaan teknologi digital termasuk AI seperti deepfake serta penyebaran fitnah digital yang berpotensi menjejaskan keselamatan awam, ketenteraman sosial dan maruah individu.
“Dalam menangani perkara ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan proaktif terhadap kandungan disebarkan di ruangan media sosial yang melibatkan kepentingan awam, jenayah, salah guna, ancaman dan provokasi,” katanya.
Tambahnya, kerjasama dengan platform media sosial dan agensi penguatkuasa lain turut giat dijalankan bagi menangani penyebaran kandungan memudaratkan dalam talian yang dijana oleh AI.
“Melalui pelaksanaan instrumen subsidiari, sekiranya kandungan deepfake masih berleluasa selepas instrumen ini berkuat kuasa, maka tindakan penalti kompaun boleh dikenakan bukan kepada pengguna tetapi platform itu sendiri sebagai pengajaran,” katanya.-UTUSAN











