Sindiket seludup migran tumpas, 37 warga asing ditahan Imigresen

Sindiket seludup migran tumpas, 37 warga asing ditahan Imigresen

ZAKARIA SHAABAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Satu sindiket penyeludupan migran berjaya ditumpaskan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas seramai 37 warga asing ditahan menerusi tiga operasi berasingan semalam di Subang Jaya, Sepang dan Klang, Selangor.

Dalam operasi pertama yang dijalankan kira-kira pukul 11.06 pagi di sebuah gudang di Subang Jaya di sini, seramai lapan warga China terdiri daripada seorang lelaki dan tujuh wanita ditahan kerana disyaki menyalahgunakan pas serta tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, siasatan awal mendapati premis berkenaan dijadikan pusat pameran dan penjualan produk kesihatan secara tertutup yang menyasarkan pelancong daripada negara sama.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, aktiviti itu dipercayai dijalankan secara tersusun dengan anggaran keuntungan antara RM200,000 hingga RM400,000 sebulan.

“Dalam serbuan kedua kira-kira pukul 11.25 pagi di Bandar Sunsuria, Sepang, seramai lima lelaki dan seorang wanita warga China kerana disyaki menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial dengan menjalankan aktiviti perniagaan serta bekerja di sebuah restoran makanan China.

“Turut ditahan 16 warga Myanmar yang dipercayai bekerja tanpa pas atau permit sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, kesemua 30 individu berusia antara 21 hingga 62 tahun itu dibawa ke Depot Imigresen KLIA untuk siasatan lanjut.

“Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” jelasnya.

Sementara itu, JIM menerusi Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA berjaya melumpuhkan satu sindiket eksploitasi dan penyeludupan migran melibatkan warga Bangladesh pada hari sama.

Jelasnya, seorang lelaki warga Bangladesh berusia lingkungan 40 tahun ditahan kerana disyaki bertindak sebagai dalang dan ejen utama.

Jelasnya, lelaki itu yang mengatur kemasukan serta pergerakan migran dari sempadan negara ke lokasi penempatan sementara sebelum diserahkan kepada majikan untuk dieksploitasi sebagai tenaga kerja.

“Sebuah bengkel mengecat kenderaan yang dijadikan rumah penampungan sementara bagi menyembunyikan migran yang baharu tiba dari Pantai Timur telah diserbu.

“Mereka dipercayai diseludup masuk melalui laluan tidak diwartakan di sekitar sempadan Malaysia-Thailand,” ujarnya.

Katanya, hasil pemeriksaan membawa kepada penyelamatan tiga lelaki warga Bangladesh berusia antara 21 hingga 45 tahun yang tidak mempunyai sebarang cap atau rekod kemasukan sah ke negara ini.

Berdasarkan pengakuan, mereka ditempatkan sementara di bengkel berkenaan sebelum dihantar bekerja dalam sektor pembinaan seperti dijanjikan ejen.

“Turut ditahan tiga lagi lelaki warga Bangladesh berusia antara 34 hingga 38 tahun yang disyaki ahli sindiket dengan peranan sebagai ejen pengatur, penghantar dan penjaga rumah penampungan.

“Kita juga merampas sebuah kenderaan jenis Toyota Wish yang dipercayai digunakan untuk mengangkut migran turut disita bagi membantu siasatan,” jelasnya.

Tambah Zakaria, kesemua tujuh individu terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) serta Akta Imigresen 1959/63.

“JIM menegaskan komitmen untuk terus mempergiat operasi penguatkuasaan secara berfokus dan berterusan terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen.

“Ia termasuk kesalahan penyalahgunaan pas, pekerjaan tanpa dokumen sah serta penyeludupan dan eksploitasi migran,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini