RUU had tempoh PM gagal salahkan MP blok kerajaan - Hamzah

RUU had tempoh PM gagal salahkan MP blok kerajaan – Hamzah

HAMZAH ZAINUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri yang gagal diluluskan di Dewan Rakyat semalam bukan salah pembangkang.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, semua ahlinya sudah menyatakan setuju tetapi dengan syarat RUU tersebut perlu penambahbaikan dan ia sudah dimaklumkan kepada kerajaan.

Beliau berkata, kerajaan perlu mempersalahkan ahli Parlimen dari blok kerajaan yang tidak mengundi semalam sehingga menyebabkan RUU tersebut gagal mendapat dua pertiga sokongan daripada seluruh ahli Parlimen.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Itu yang patut dipersalahkan kerana kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk mempertahankan usul mereka, bukan nak menyalahkan pembangkang yang berkecuali, kami bukan menolak, kami nak tambah beberapa perkara dalam RUU tersebut.

“Saya hairan ada daripada ahli-ahli jemaah menteri yang keluarkan kenyataan pembangkang yang tidak mengundi. Apa kena mengena dengan pembangkang? Kau sudah ada jumlah yang besar, 154 ahli Parlimen menyokong kerajaan,” katanya dalam sidang media di Pusat Media, Bangunan Parlimen, hari ini.

RUU untuk menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri ke dua penggal itu gagal diluluskan semalam selepas tidak memperoleh sokongan dua pertiga ahli Parlimen, apabila hanya 146 ahli Parlimen menyokong, sementara 32 orang tidak hadir dan 44 orang lagi berkecuali.

Keputusan undi belah bahagian itu diumumkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, selepas ia dibahaskan oleh seramai 41 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Sementara itu, Hamzah turut mahu ‘mengajar’ kerajaan untuk bagaimana mahu meluluskan RUU yang dibawa oleh mereka ke dalam Dewan Rakyat.

“Saya nak ajar kerajaan sikit, kalau nak buat undang-undang yang nak memastikan ada sokongan dua pertiga daripada jumlah datang mengundi, kena panggil sorang-sorang ahli Parlimen kerajaan.

“Kalau mereka tersekat di dalam trafik, kita hantar nota kepada menteri untuk panjangkan sedikit. Jadi saya nak mengajar sedikit ni, saya bukan nak sekolahkan tetapi saja nak mengajar supaya perkara ini tidak timbul lagi,” katanya.

Tambahnya, blok pembangkang sedia menyokong sekiranya ia merupakan demi kebaikan rakyat dan negara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini