PUTRAJAYA: Usaha akhir isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor untuk menyingkirkan Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan untuk mendengar kes rasuah projek solar dihadapinya gagal.
Perkara itu setelah Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menolak rayuan Rosmah untuk menyingkir Hakim Mohamed Zaini yang kini Hakim Mahkamah Rayuan.
Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Datuk Nordin Hassan yang bersidang bersama Datuk Che Ruzima Ghazali dan Datuk Azimah Omar.
Hakim Nordin berkata, hakim perbicaraan tidak berat sebelah dan dakwaan terhadapnya tidak berasas.
“Perayu (Rosmah) gagal menunjukkan bahawa hakim perbicaraan bersikap berat sebelah. Tiada juga berlaku salah laksana keadilan,” kata Hakim Nordin.
Susulan keputusan sebulat suara itu, rayuan Rosmah terhadap hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta akan didengar di Mahkamah Rayuan lewat tahun ini.
Sebelum ini, Rosmah memfailkan permohonan menyingkirkan hakim itu dengan alasan meragui integriti Hakim Mohamed Zaini selepas insiden kebocoran dokumen penghakiman yang disiarkan oleh sebuah portal berita.
Peguam, Datuk Jagjit Singh, Datuk Akberdin Abdul Kader dan Datuk Amer Hamzah Arshad mewakili Rosmah manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah.
Mohamed Zaini sebelum ini, sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhi Rosmah, 75, hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta atas tiga kes rasuah bagi projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Pada 1 September 2022, Mohamed Zaini memutuskan Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan berkenaan dan mengenakan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan.
Bagaimanapun, hukuman itu diperintahkan berjalan serentak, bermakna Rosmah hanya akan menjalani hukuman penjara selama 10 tahun.
Tertuduh juga didenda RM970 juta dan jika gagal membayar denda itu, boleh dihukum penjara selama 30 tahun. Kedua-dua hukuman itu digantung sementara menunggu rayuan.
Rosmah sebelum ini didakwa atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.-UTUSAN











