Penduduk panik gempa bumi landa Sumatera - Utusan Malaysia

Penduduk panik gempa bumi landa Sumatera

TANAH dan serpihan akibat tanah runtuh yang dicetuskan gempa bumi menghalang sebatang jalan di Cugenang, Cianjur, November 2022. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Satu gempa bumi berukuran 6.1 magnitud melanda luar pantai pulau Sumatera, Indonesia, pada Selasa, menurut agensi Kajian Geologi Amerika Syarikat (AS), menyebabkan penduduk panik namun tidak mengakibatkan kerosakan serius.

Gempa itu berpunca dari kawasan luar pantai di hujung timur laut Sumatera, menurut pihak berkuasa, sehingga mendorong orang ramai berlari keluar dari rumah di wilayah yang kerap mengalami gegaran kuat.

“Saya berada di rumah ketika ia berlaku, gegarannya sangat kuat,” kata Ahmadi, 50, yang seperti kebanyakan rakyat Indonesia hanya menggunakan satu nama, kepada AFP melalui telefon dari pekan pesisir Sinabang di wilayah paling utara Aceh.

“Saya panik. Kami lari keluar dari rumah, tetapi kerana gegaran itu agak singkat, keadaan kembali normal,” katanya, sambil menambah beliau melihat keluarga-keluarga berlari di jalanan.

Ketua Pusat Gempa Bumi dan Tsunami Indonesia di Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG), Rahmat Triyono berkata, penduduk di Pulau Simeulue dan kawasan pantai timur Aceh kemungkinan merasai gegaran kuat, dengan tingkap serta pintu bergegar, dinding berkeriut selain kemungkinan barangan kaca pecah.

Namun, beliau menegaskan tiada risiko tsunami.

Gegaran lebih lemah turut dirasai di timur laut Sumatera.

Negara kepulauan yang luas itu kerap mengalami gempa bumi kerana kedudukannya di Lingkaran Api Pasifik,  kawasan aktiviti seismik yang sangat aktif di mana plat tektonik bertembung, merentang dari Jepun melalui Asia Tenggara dan merentasi lembangan Pasifik. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×